Jumaat, 20 March 2015 | 9:58pm
AKSI pelumba pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Azlan Shah Kamaruzaman ketika mengharungi sesi ujian pra-musim di Litar Jerez, kelmarin. - Foto EPA
AKSI pelumba pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Azlan Shah Kamaruzaman ketika mengharungi sesi ujian pra-musim di Litar Jerez, kelmarin. - Foto EPA

MotoGP: Azlan buru mata saingan Moto2

KUALA LUMPUR: Persediaan yang dilakukan pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman bagi menghadapi Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) 2015 disifatkan jauh lebih baik menjelang perlumbaan pembuka musim di Qatar, minggu depan.

Pada sesi ujian terakhir Moto2 di Jerez, Sepanyol, semalam, pelumba pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa keenam terpantas keseluruhan sepanjang tiga hari sesi ujian yang terganggu dengan hujan lebat dan angin kuat sejak hari pertama ujian dijalankan pada Selasa.

Lebih mengejutkan, Azlan turut mencatat masa terpantas pada sesi pertama hari kedua (Rabu) dengan masa 1 minit 45.729 saat, satu saat lebih baik berbanding catatan terpantas yang dilakukan pada musim lepas di litar sama.

"Kami melakukan persediaan secukupnya sebelum ke Jerez dan saya berpuas hati dengan catatan yang dilakukan," kata pelumba berusia 31 tahun itu yang berjaya menempatkan diri dalam kelas Moto2 selepas muncul juara SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2013.

"Saya bekerja keras sepanjang dua minggu lepas dan merasakan peningkatan dari segi fizikal dan tunggangan saya. Cuma malangnya, keadaan cuaca tidak begitu baik dan menghalang kami untuk lebih banyak masa di atas jentera.

"Namun ia bukan masalah besar kerana pada masa sama kami dapat melakukan ujian untuk mendapatkan pelarasan bagi litar basah dan ia penting untuk sesetengah perlumbaan musim ini," katanya.

Mengulas mengenai sasaran pada musim ini, Azlan berkata mengakui bertambah yakin untuk menghadapi musim 2015 yang juga musim kedua saya dalam saingan Moto2.

"Saya berjaya melakukan 88 pusingan dalam sesi latihan sebelum ini dan agak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan. Berbeza dengan musim lepas di mana saya menghadapi kesukaran dengan jentera Kalex yang kami digunakan.

"Saya yakin jika terus bekerja keras seperti ini, saya mampu untuk mengutip mata kejuaraan pada musim ini," katanya.

Sepanjang tiga hari sesi ujian di Jerez, pelumba pasukan Speed-Up, Sam Lowes mencatat masa terpantas 1'44.129s, hampir satu saat lebih pantas berbanding masa dilakukan pelumba lain.

Begitupun, ia dua saat lebih perlahan berbanding catatan Johann Zarco pada sesi ujian pra-musim Februari lepas.

Pelumba Jerman, Jonas Folger dari pasukan AGR Team Kalex mencatat masa kedua terpantas (1'45.207s), mengatasi catatan pelumba Derendinger Racing Interwetten, Thomas Luthi (1'45.244s).

Rakan sepasukan Azlan, Takaaki Nakagami mencatat masa keempat terpantas, mengatasi catatan pelumba IR Racing, Randy Krummenacher.

Berita Harian X