X
Selasa, 31 March 2015 | 6:14pm

Terbuka Malaysia: 5 pemain negara mara pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Lima pemain perseorangan negara, mara ke pusingan kedua peringkat kelayakan Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, yang membuka tirainya, hari ini.

Kelima-lima pemain itu terdiri daripada dua pemain perseorangan lelaki iaitu Zulfadli Zulkifli dan Mohamad Arif Abdul Latiff manakala pemain wanita terdiri daripada Lim Yin Fun, Tee Yi Jing dan Lyddia Cheah Yi Yu.

Zulfadli mengalahkan Saatawat Pongnairat dari Amerika Syarikat 21-12 dan 21-8 manakala Mohamad Arif menewaskan lawan yang juga rakan senegara, Chiang Jiann Shiarng 21-17, 21-11.

Pemain perseorangan wanita yang mara pula adalah Yi Jing yang menundukkan lawannya dari Indonesia, Yulia Yosephin Susanto 21-15, 21-19, manakala Lyddia Cheah mengalahkan seorang lagi pemain Indonesia Jauza Fadhila Sugiarto 21-14, 21-19.

Seorang lagi perseorangan wanita yang turut mara ke pusingan kedua Yin Fun pula menewaskan rakan senegara Lim Peiy Zhean 21-5, 21-9.

Dalam acara beregu wanita pula, tiga pasangan negara gagal ke pusingan seterusnya.

Chin Kah Mun-Chow Mei Kuan tewas kepada pasangan Jerman Isabel Herttrich-Birgit Michels 21-14, 21-18, diikuti Lim Peiy Yee-Lim Peiy Zhean yang kalah kepada pasangan Taiwan Chiang Kai Hsin-Wu Fang Chien 21-4, 21-10.

Pasangan Erica Khoo Pei Shan-Vern See To Chia juga terkandas di pusingan pertama kepada pasangan Indonesia Apriani Apriani-Jauza Fadhila Sugiarto 21-14, 21-18.

Berbeza di kem beregu lelaki pula, hanya satu pasangan negara yang mara ke pusingan kedua, manakala empat lagi terkandas.

Pasangan Ng Di Hua-Woon Man Chun menewaskan satu lagi pasangan negara Lee Yan Sheng-Lin Woon Fui dalam penentuan 'rubber set' 18-21, 21-19, 21-18.

Dua pasangan beregu campuran negara Tan Aik Quan-Lai Pei Jing berjaya mengatasi pasangan Sweden Jonathan Nordh-Emelie Fabbeke dalam perlawanan 'rubber set' 17-21, 21-14, 21-19.

Pasangan Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan pula menang mudah ke atas pasangan Indonesia Akbar Panji-Apriani Apriani 21-11, 21-15. - BERNAMA

Berita Harian X