Selasa, 21 April 2015 | 12:45am

Hendrawan galas peranan besar bimbing Chong Wei

 Hendrawan diberi peranan lebih besar untuk membimbing Datuk Lee Chong Wei
Hendrawan diberi peranan lebih besar untuk membimbing Datuk Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia, Hendrawan diberi peranan lebih besar untuk membimbing Datuk Lee Chong Wei selepas jaguh badminton negara itu bebas daripada tuduhan doping terhadapnya.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen, Selasa mengesahkan bahawa perubahan dibuat pada skuad perseorangan lelaki negara.

"Ia sangat penting, anda harus sentiasa cuba memperbaiki keadaan dan Chong Wei sudah sekian lama mempunyai jurulatih sama. Sudah tiba masanya kita melihat perubahan ini dapat memberi kemungkinan yang lebih besar untuk memenangi Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di pejabat BAM, Bukit Kiara di sini hari ini.

Frost turut memaklumkan bahawa hanya Chong Wei Feng akan dibimbing oleh Tey Seu Bock, yang sebelum ini melatih Chong Wei.

Hendrawan, 42, yang sebelum ini jurulatih pemain pelapis, juga akan membimbing tiga pemain lain iaitu Liew Daren, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Cheam June Wei.

Chong Wei dibimbing oleh Seu Bock sejak 2010, dengan dibantu oleh bekas jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan Hendrawan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sedang menanti keputusan daripada tiga anggota panel Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kesalahan dopingnya.

Chong Wei, 33, digantung sementara oleh BWF sejak 11 November tahun lalu, selepas didapati menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Ogos tahun lalu.

Selain Hendrawan dan Seu Bock, BAM juga mempunyai He Guo Quan sebagai jurulatih perseorangan lelaki.

Frost berkata tiga jurulatih akan mempunyai sekumpulan pemain di bawah bimbingan mereka apabila terdapat kejohanan-kejohanan, membabitkan kebajikan pemain, program gym dan pemulihan serta hal-hal lain.

"Mereka (jurulatih) akan bertanggungjawab terhadap pemain di bawah jagaan mereka berhubung perkara-perkara tersebut. Namun apabila adanya latihan sebenar, kita tidak mahu melihat ada kumpulan pemain di sini, satu kumpulan di sana. Saya mahu mereka bekerjasama terutama dalam berkongsi pengetahuan," katanya.

Sementara itu, Frost berkata semua pemain perseorangan lelaki negara akan menjalani ujian kecergasan di Institut Sukan Negara (ISN), Jumaat ini.

Beliau berkata berdasarkan kepada ujian pemilihan prestasi selama dua hari minggu lalu, mendapati bahawa tahap kecergasan sebahagian pemain adalah kurang.

"Saya mahu melihat keseluruhan tahap kecergasan kesemua pemain kita. Saya mahu menguji mereka di ISN dan pemain-pemain ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu pada Jumaat (24 April) dan satu lagi kumpulan pada Khamis (30 April).

"Hanya Lee Chong Wei da Chong Wei Feng dikecualikan. Chong Wei sudah cukup cergas manakala Wei Feng akan menyertai Kejohanan Asia di Wuhan, China dan Terbuka New Zealand," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X