Selasa, 21 April 2015 | 11:55pm

MSN mahu KOM pastikan persiapan atlet olahraga tidak terganggu

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Hasriyashah Sabudin
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Hasriyashah Sabudin

PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) mahu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memastikan persiapan atlet olahraga ke Sukan SEA di Singapura tidak terjejas berikutan percanggahan pendapat antara jurulatih kebangsaan dan pengarah teknikalnya, Robert Ballard.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap Ballard akan bekerjasama dengan jurulatih lain dan mendengar pendapat mereka bagi memastikan satu kata sepakat dapat dicapai.

"Ballard bukan dipilih oleh MSN sahaja, ia mendapat persetujuan KOM untuk mengawasi, merancang dan memastikan segala program latihan atlet olahraga berjalan lancar sebelum ke sesebuah kejohanan.

"Saya faham perkara ini memang tidak dapat dielak kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri dan kredibiliti masing-masing tapi saya memang berharap isu ini tidak akan mengganggu atlet," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2014, di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Menurut laporan sebuah akhbar, Selasa, kehadiran Ballard dikatakan tidak banyak membantu sebaliknya menimbulkan kepincangan dalam pentadbiran sukan itu apabila beberapa jurulatih tempatan tidak 'sebulu' dengan warga Australia itu.

Ballard juga didakwa tidak memberi sebarang impak dalam melonjakkan kualiti atlet olahraga hingga mendorong beberapa jurulatih menyuarakan rasa kurang senang terhadap pendekatan Ballard. - BERNAMA

Berita Harian X