Ahad, 24 Mei 2015 | 11:27pm

MSA Racing pintas pasukan pilihan juarai LLM 2015

PASUKAN MSA Match Racing membawa pulang RM6,000 selepas menjuarai sirkit ketiga Liga Layar Malaysia (LLM) di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PASUKAN MSA Match Racing membawa pulang RM6,000 selepas menjuarai sirkit ketiga Liga Layar Malaysia (LLM) di sini hari ini. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Pasukan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) Match Racing berjaya memintas pemenang dua peringkat Hazone Racing untuk muncul sebagai juara pada Liga Layar Malaysia (LLM) 2015 sirkit ketiga di sini, hari ini.

Pasukan itu yang dikemudi Mohamad Faizal Norizan memenangi dua daripada tiga perlumbaan akhir dengan mengumpul dua mata yang sekali gus menjuarai kejohanan itu.

Pertarungan satu lawan satu itu menunjukkan kemampuan pasukan MSA memintas saingannya pada perlumbaan akhir dengan masa 14 saat di hadapan.

Dengan kemenangan itu MSA menggondol hadiah wang RM6,000 manakala tempat kedua disandang pasukan pilihan Hazone Racing dengan membawa pulang RM4,000.

Sementara tempat ketiga dimenangi Royal Malaysian Navy Match Racing membawa pulang RM3,000, Navy Only One dan Kedah Match Racing Team masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima yang membawa pulang RM1,000.

Lima pasukan menyertai Kejohanan LLM 2015 untuk memilih pasukan yang mewakili Malaysia ke Piala Monsoon nanti yang berakhir di sini, hari ini.

Langkawi adalah antara lapan sirkit lokasi LLM 2015, lokasi lain ialah Pulau Indah, Selangor; Lumut, Perak; Port Dickson, Negeri Sembilan; Putrajaya; Tanjung Gelang, Pahang; Pulau Duyong, Terengganu dan Danga Bay Johor. - BERNAMA

Berita Harian X