Jumaat, 5 Jun 2015 | 5:10pm

Gatlin harap dapat 'cetus minat' Bolt

REAKSI Gatlin ketika memenangi acara 100 meter lelaki pada kejohanan Liga Berlian di Rome, Itali, semalam. - Foto Reuters
REAKSI Gatlin ketika memenangi acara 100 meter lelaki pada kejohanan Liga Berlian di Rome, Itali, semalam. - Foto Reuters

ROME: Bintang pecut Amerika Syarikat (AS) Justin Gatlin berharap satu lagi larian bertenaga yang ditampilkan mampu 'mencetus minat' pencabar tradisinya, Usain Bolt menjelang pertembungan di Kejuaraan Dunia.

Gatlin pada kejohanan Liga Berlian di sini, semalam mencipta masa yang gagal dikekang 9.75 saat sekali gus meleburkan rekod yang dipegang jaguh Jamaica, Bolt yang merakam 9.76 saat ketika mencipta kejayaan sama pada 2012.

Kedua-dua jaguh pecut dunia itu dijadual bertemu pada Kejuaraan Dunia berlangsung di Beijing, China pada Ogos.

Menyifatkan dirinya 'tiada perlu membuktikan kepada sesiapa' apabila ditanya mengenai catatan yang dilakukan sepanjang tahun ini, Gatlin yang pernah berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun pada 2006-2010 kerana penggunaan bahan terlarang berkata dia berharap seteru utamanya, Bolt mengambil kira prestasinya.

"Jika peranan kami berubah.... saya akan lebih bersemangat menerusi pencabar yang hebat di depan dan menjadikan saya mahu menjadi lebih tajam lagi," kata Gatlin.

"Saya menyaksikan dia berlumba juga, saya juga peminatnya. Saya gemar melihatnya berlari. Dia seperti berpuisi ketika berlari. Keyakinan yang dia gunakan di atas trek perlumbaan adalah sesuatu yang kamu ingin lihat dan lihat lagi," katanya.

Ketika di Sukan Olimpik London, Bolt mencatat masa 9.63 saat untuk memenangi emas manakala Gatlin sekadar memenangi gangsa dengan merakamkan 9.79 saat dengan perak dimenangi seorang lagi pelari Jamaica, Yohan Blake (9.75 saat).

Setahun kemudian di Kejuaraan Dunia di Moscow, Gatli mencipta catatan 9.85 saat namun ia hanya kemenangan perak dengan emas dimenangi Bolt dengan catatan 9.77 saat.

Ketika Bolt mengehadkan dirinya daripada beraksi sepanjang musim ini, Gatlin mengumpul momentum dan meraih keyakinan.

Malah pada Liga Berlian di Eugene, dia memberi isyarat kepada peminat selepas kemenangannya namun menarikan dia 'memanggil keluar' Bolt.

"Tidak sama sekali! Saya bercakap kepada peminat, berkata saya di sini, saya beraksi dengan bagus dan apa-juga yang kamu fikirkan mengenai saya, saya berada di sini untuk membuat penampilan," kata Gatlin. - AFP

Berita Harian X