Khamis, 11 Jun 2015 | 5:36pm

Mayweather atasi Pacquiao buat kali kedua, kekal atlet terkaya dunia

BINTANG tinju Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather. - Foto AP
BINTANG tinju Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather. - Foto AP

LOS ANGELES: Bintang tinju Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather sekali lagi menewaskan Manny Pacquiao namun kali ini bukan di gelanggang, tetapi pada senarai atlet penerima bayaran paling tinggi di dunia.

Dalam senarai yang dikeluarkan Forbes itu, Mayweather kekal sebagai atlet menerima bayaran tertinggi buat tahun kedua berturut-turut dengan majoriti kekayaannya berjumlah $300 juta (RM1.123 bilion) dikumpul daripada perlawanan mega menentang Pacquiao.

Menerusi perlawanan itu juga, ikon tinju Filipina, Pacquiao turut menerima $160 juta (RM599.33 juta) sekali gus menduduki tangga kedua dan menyertai Mayweather dan Tiger Woods yang bergelar atlet menerima pendapatan melebihi sembilan angka dalam tempoh 12 bulan.

Perlawanan tinju membabitkan Mayweathe dan Pacquiao menjana pendapatan paling tinggi dalam sejarah sukan dunia iaitu $400 juta AS (RM1.498 bilion) kata Forbes.

Menurut pengiraan majalah kewangan terkemuka dunia itu, yang diambil menerusi akaun gaji, bonus, hadiah kemenangan, bayaran penampilan dan anggaran pelesenan serta pengesahan pendapatan - senarai 100 terkaya mencatatkan jumlah pendapatan keseluruhan berjumlah $3.2 billion AS (RM11.99 bilion) sejak 12 bulan lepas.

Ia peningkatan $450 juta AS (RM1.685 bilion) berbanding tempoh yang sama sebelum ini.

Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengatasi musuh tradisinya yang juga pemain Barcelona, Lionel Messi untuk menghuni kedudukan ketiga dengan mengumpul $79 juta AS (RM295.92 juta).

Messi keempat dengan mengumpul kekayaan $73.8 juta AS (RM276.44 juta).

Pemain tenis Switzerland, Roger Federer melengkapkan senarai lima atlet memperoleh pendapatan terbanyak dengan meraih $67 juta AS (RM250.97 juta).

Bintang golf kontroversi, Woods kekal dalam senarai 10 terkata di kedudukan kesembilan selepas mencatatkan pendapatan $50.6 juta AS (RM189.54juta) sekalipun permainan dan kedudukan ranking dunianya terjunam di kedudukan ke-181.

Pemenang 14 kali gelaran Major golf, Phil Mickelson muncul pemain golf terkaya dengan memperoleh $50.8 juta AS (RM190.29 juta) dengan pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy di kedudukan ke-12.

Senarai 10 terkaya juga diisi pemain Bola Keranjang AS, LeBron James yang menghuni kedudukan keenam diikuti Kevin Durant (tujuh) dan Kobe Bryant ke-10.

Jelitawan tenis Russia, Maria Sharapova yang mengekalkan status atlet wanita menerima bayaran paling tinggi berada di kedudukan ke-26 dengan jumlah kekayaan yang dikumpul sejak 12 bulan lalu bernilai $29.7 juta (RM111.25 juta).

Selain Sharapova, atlet wanita kedua yang turut berada dalam senarai 100 ialah bintang tenis AS, Serena Williams yang berada di kedudukan ke-47 dengan kekayaan dikumpul $26.4 juta AS (RM98.89 juta). - AFP

Berita Harian X