X
Isnin, 29 Jun 2015 | 6:04pm

Tuah Farkhan berlatih di Los Angeles

PETINJU Malaysia, Muhamad Farkhan Mohd Haron.- Foto BERNAMA
PETINJU Malaysia, Muhamad Farkhan Mohd Haron.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas hampir berputus asa dua tahun lalu, peninju Malaysia, Muhamad Farkhan Mohd Haron kini boleh bermimpi untuk beraksi di peringkat dunia selepas dihadiahkan latihan selama dua tahun bersama Kelab Tinju Wild Card oleh keluarga diraja.

Peluang untuk berlatih di gimnasium terkenal di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dimiliki jurulatih terkenal, Freddie Roach itu dihadiahkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Farkhan berjaya membuka mata Tunku Ismail selepas menewaskan bekas juara Asia, Hendrik Aritonang dalam perlawanan kelas cruiserweight, Mac lepas.

Atlet kelahiran Johor itu kini berpeluang untuk berlatih bersama juara dunia seperti bintang Filipina, Manny Pacquiao selain juara Puerto Rico, Miguel Cotto.

"Saya rasa berbangga Tunku mempercayai saya. Dia melihat potensi saya dan membantu saya untuk meningkat," kata Farkhan.

"Bersama sokongannya, saya boleh terus berusaha untuk menjadi juara Asia dan juga kejuaraan dunia.

"Kesungguhan adalah kunci kepada kejayaan dan saya percaya saya boleh memenangi gelaran dunia mungkin dalam tempoh empat tahun. Namun ketika ini, saya mahu fokus kepada Asia."

Farkhan, 27 pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos pada 2009 dalam kelas pertengahan namun dia kini beraksi dalam kelas berat sederhana yang dilihat lebih sukar.

Bapa Farkhan, Mohd Haron yang juga bekas atlet tinju kebangsaan dan naib presiden Persekutuan Tinju Amatur Malaysia meninggal dunia pada 2012 akibat serangan jantung.

Pada tahun sama juga, Farkhan terpaksa dirawat di hospital kerana diserang sebelum mengambil keputusan untuk bangkit secara bersendirian.

"Saya meninggalkan skuad elit untuk muncul profesional. Persekutuan tidak menyokong saya ketika saya bersama mereka dan saya hampir berhenti.

"Namun saya memilih haluan saya sendiri dan saya bertekad untuk membanggakan negara saya," katanya.

Farkhan dijadual beraksi di Kejuaraan Asia di Jakarta, Indonesia bulan depan yang dilihat peluang terbaiknya untuk membuktikan kemampuan. - Reuters

Berita Harian X