Khamis, 23 Julai 2015 | 9:22pm
 PERLAWANAN bola sepak antara media. KLFA Taman Melawati. Kuala Lumpur. - Foto Ariff Sarbri.

PESERTA Soccer Clinic bersama Jurulatih Liverpool. KLFA Taman Melawati. Kuala Lumpur. - Foto Ariff Sarbri.

PESERTA Soccer Clinic bersama John Barnes(Lagenda Liverpool. - Foto Ariff Sarbri.

Wartawan BH teruja sertai klinik khas Liverpool

BAGI peminat kelab bola sepak Liverpool (LFC), peluang bergambar bersama pemain atau menyaksikan perlawanan di stadium sudah cukup bermakna, tetapi jika berpeluang menyertai latihan bersama barisan kejurulatihan profesional pasukan itu seumpama mimpi menjadi realiti.

Petang semalam, saya bersama kira-kira 80 peminat di ibu negara serta wakil media dan 44 kanak-kanak istimewa dipilih menyertai klinik dan bengkel khas anjuran Standard Chartered Berhad sempena siri jelajah LFC Asia 2015 di Padang Bola Sepak Akademi KLFA di Desa Melawati.

Sesi klinik bola sepak untuk 44 kanak-kanak Autisme dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar Lembah Klang diadakan pada sebelah pagi, manakala sesi untuk peminat bermula jam 2.30 petang.

Jika dibandingkan dengan latihan pemain profesional, mungkin hanya kurang 30 peratus saja latihan yang kami lalui dilalui. Namun, bagi kami yang jarang-jarang turun padang, pengalaman berlatih hampir tiga jam bersama barisan kejurulatihan LFC itu amat berharga.

Latihan cukup memenatkan, apatah lagi bengkel diadakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri keenam, namun keinginan dan rasa ghairah untuk menerima tunjuk ajar jurulatih profesional mengatasi segala-galanya.

Dari bilik persalinan di tingkat satu, kami nampak barisan jurulatih LFC sudah bersiap sedia menyusun kon kecil, membawa bola, menyusun atur bip di tepi padang. Semuanya disiapkan awal, kira-kira 20 minit sebelum kami memasuki padang.

Itu saja sudah menunjukkan betapa mereka amat profesional dalam tugasan kerana walaupun latihan hanya untuk peminat dan media, mereka tidak membezakan adakah peserta itu profesional, semi profesional atau amatur seperti kami.

Bermula dengan taklimat khas ketua jurulatih Akademi Antarabangsa LFC, Phil Oliver, peserta diberi penerangan ringkas dan legenda Liverpool, John Barnes menyambung taklimat dengan memberikan kata-kata semangat disambut tepukan gemuruh peserta.

Turut sama ialah pemain Kelab Bola Sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kami dibahagikan kepada empat kumpulan yang dipilih secara rawak. Latihan pertama tampak mudah kerana bermula dengan sesi memanas badan dan kemahiran menggelecek membabitkan lima peringkat. Bagi pemain UiTM, ia nampak mudah kerana mereka lebih mahir daripada majoriti peserta lain.

Peserta kemudiannya diberi tunjuk ajar pelbagai teknik hantaran bola, teknik kawalan dan teknik hantaran 1-2 serta kerap diberi penekanan betapa pentingnya komunikasi antara pemain.

Ketika peluh mula membasahi pakaian dan kami sudah beberapa kali dibenarkan berehat, barisan empat jurulatih itu tidak kepenatan, seolah-olah sudah biasa dengan cuaca panas dan tidak mengganggu tugas. Apatah lagi latihan berlangsung di padang rumput tiruan yang lebih panas berbanding rumput asli.

Latihan peringkat kumpulan besar berakhir dengan sesi teknik menjaringkan gol di luar kotak D yang diadakan secara santai tetapi penuh semangat kerana dua kumpulan kecil yang berlatih secara bergilir-gilir dianugerahkan mata jika menjaringkan gol.

Pasukan lawan yang berada di belakang gol juga diberikan mata jika berjaya menangkap bola yang ditendang tinggi.

Kaedah itu mewujudkan persaingan sihat. Setiap peserta berusaha memastikan bola menerjah jaring dan tidak melepasi palang gol dan belajar bagaimana menyediakan ruang dan hantaran terbaik kepada rakan untuk menjaringkan gol.

Sesi terakhir paling dinanti-nanti. Lima pemain dipilih secara rawak untuk menyertai lapan pasukan iaitu bermula dengan Liverpool, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Atletico Madrid, Everton, Juventus dan Malaysia XI.

Kami diuji kemampuan menggunakan skil yang diajar sejak awal latihan tadi melalui empat perlawanan secara liga dan bagaimana sistem komunikasi sesama pemain. Walaupun ia seumpama aksi perlawanan futsal, tetapi cukup memenatkan.

Sehingga kini, masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata John Barnes. "Jika mahu menjadi pemain yang bagus, tidak cukup jika sekadar ada minat tetapi mesti ada perasaan sayang dan mahu berjaya dalam sukan itu sendiri. Kejayaan, imbuhan, gelaran semuanya akan menyusul kemudian."

Berita Harian X