Sabtu, 8 Ogos 2015 | 12:10am

WSF yakin Skuasy disenarai di Sukan Olimpik 2020

PRESIDEN Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), N Ramachandran
PRESIDEN Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), N Ramachandran

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), N Ramachandran berkeyakinan tinggi bahawa acara itu akan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Keyakinan itu disuarakan selepas badan induk itu membuat pembentangan di hadapan Panel Acara Tambahan Sukan Olimpik 2020 di Jepun, semalam.

Beliau berkata badan induk sukan dunia itu gembira kerana mempunyai peluang untuk menampilkan kepada panel itu mengenai perubahan menarik dan inovasi yang berlaku dalam sukan itu.

Di samping itu, pihaknya juga memperjelaskan kepada panel bahawa sukan skuasy hanya membabitkan kos tambahan yang kecil dengan jumlah kecil bilangan atlet, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh WSF hari ini.

"Kita perlu memberi penelitian lebih lanjut pada sesi soal jawab bersama panel itu esok dan kemudian kita hanya boleh berharap untuk menerima pencalonan daripada Jawatankuasa Penganjur Tokyo kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Ia akan menjadi penantian yang sukar tetapi jika skuasy mencapai impian untuk atlet kami, maka ia berbaloi," katanya.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia dan juga ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, yang menyertai delegasi WSF itu, mengulangi bahawa beliau sanggup menyerahkan kesemua lapan gelaran dunia hanya semata-mata untuk sebutir pingat emas Olimpik.

"Perjalanan ini adalah jauh tetapi seperti semua rakan pemain, saya gembira bahawa skuasy kini mempunyai peluang merebut tempat ke Sukan Olimpik," katanya.

Selain Nicol, delegasi WSF itu turut dianggotai oleh Presiden Persatuan Skuasy Jepun, Kazuya Kasahara dan Ketua Eksekutif WSF, Andrew Shelley.

Selain skuasy, tujuh lagi sukan membuat pembentangan sebagai sukan tambahan iaitu luncur, boling, sukan kasut roda, mendaki, wushu manakala besbol dan bola lisut membuat pembentangan bersama.

Tuan rumah Tokyo dibenarkan membuat cadangan untuk menyenaraikan satu atau lebih acara tambahan kepada IOC sebelum 30 Sept ini.

IOC akan hanya memutuskan jenis sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2020 pada Ogos tahun depan, sebelum Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. - Bernama

Berita Harian X