Sabtu, 15 Ogos 2015 | 12:22am

2 pemain Kelab Frenz United disenarai jalani latihan skuad B-19

KUALA LUMPUR: Dua pemain kelab Frenz United FC, Muhammad Izaffiq Ruzi dan Mohammad Amirul Muhamad adalah antara 23 pemain disenaraikan jurulatih skuad Harimau Muda C (Bawah 19), Hassan Sazali Mohd Waras untuk sesi latihan pusat di Wisma FAM di Kelana Jaya bermula Isnin ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 21 pemain yang dipanggil merupakan pemain Harimau Muda C yang kembali semula ke tanah air semalam, selepas menjalani latihan hampir tiga bulan di Eropah.

Skuad berkenaan bakal bersaing pada Kejohanan Bola Sepak AFF B-19 2015 di Vientiane, Laos dari 22 Ogos hingga 4 Sept.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar, Singapura dan Timor Leste manakala juara edisi 2011, Thailand mengetuai cabaran kumpulan A bersama Australia, Kemboja, Brunei, Filipina dan tuan rumah, Laos.

Skuad B-19 negara bakal membuka kempen kejohanan menentang Timor Leste pada 23 Ogos, Singapura (25 Ogos), Vietnam (27 Ogos) dan Myanmar, selang dua hari kemudian.

Senarai Pelatih:

Penjaga Gol - Khatul Anuar Md Jalil, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly.

Pertahanan - Muhamad Hafiy Haikal Ismail, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham, Mohamad Hariz Kamarudin, Muhammad Nazirul Afif Ibrahim, R. Dinesh, Tan Yung Hong, Mohamad Ramadhan Jalil, Dominic Tan Jun Jin, Muhammad Izaffiq Ruzi, Mohammad Amirul Muhamad.

Pemain Tengah - Muhamad Rizalul Azuwan Supandri, Nik Azli Nik Alias, Muhammad Shahrul Akmal Md Adnan, Mohammad Fitri Amani Ismail, Mohd Aiman Shakir Mohd Hashim, S. Thipanraj, Muhammad Syahmi Safari.

Penyerang - Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Mohamed Syamer Kutty Abba, Badrul Amin Rusalan, M. Kogileswaran Raj. - BERNAMA

Berita Harian X