Rabu, 26 Ogos 2015 | 1:28pm
KETUA jurulatih Bawah 19 tahun (B-19) Malaysia, Hassan Sazali Waras.
KETUA jurulatih Bawah 19 tahun (B-19) Malaysia, Hassan Sazali Waras.

Pemain B-19 sudah temui rentak - Hassan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Bawah 19 tahun (B-19) Malaysia, Hassan Sazali Waras mengakui pemainnya sudah mula mendapat rentak yang diharapkan selepas merakam kemenangan kedua pada kempen Kejuaraan B-19 AFF 2015 di Vientiane, Laos, semalam.

Malaysia mencatat kemenangan kedua dengan membelasah Singapura 4-0 di Stadium Nasional Laos selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 pada aksi pertama bertemu Timor Leste, pada Ahad.

Bertemu Singapura, Hassan melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan pertama terutama di bahagian tengah yang jelas mencetuskan impak kepada pasukan.

"Pemain-pemain mula mendapat rentak permainan mereka yang sebenar dengan hantaran-hantaran kemas di bahagian tengah.

"Dengan membuat empat pertukaran pemain dalam kesebelasan utama terutamanya di bahagian tengah, ia ternyata memberi kesan kepada pasukan.

"Terima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan yang bekerjasama untuk mencapai kemenangan," kata Hassan.

Pada perlawanan menentang Singapura, penyerang berbahaya, Jafri Firdaus Chew muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-15 melalui tandukan kemas dan pada minit ke-21 melalui sepakan percuma.

Bersambung separuh masa kedua, penjaga gol, Muhd Hazrul Hafiz bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti Singapura pada minit ke-62 sebelum pemain pertahanan, Nazirul Afif menjaringkan gol ketiga dan Danial Ashraf melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia.

Hassan dalam itu berkata pertemuan menentang Singapura menjadi petunjuk kepada barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan ketiga menentang Vietnam, esok selain berharap penyerang, Firdaus akan terus menyinar.

"Saya berharap dia (Jafri Firdaus Chew) terus dapat mengekalkan persembahannya," katanya.

Perlawanan ketiga bakal menyaksikan skuad B-19 kebangsaan menentang Vietnam, esok pada jam 8 malam waktu Malaysia.

Berita Harian X