Khamis, 27 Ogos 2015 | 8:10pm

Harimau Malaya mampu bangkit jika tewaskan Bangladesh Sabtu ini

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM kelana jaya yang dalam persiapan menghadapi perlawanan antarabangsa menentang Bangladesh seterusnya kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. - Foto Osman Adnan
SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM kelana jaya yang dalam persiapan menghadapi perlawanan antarabangsa menentang Bangladesh seterusnya kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah percaya kemenangan ke atas Bangladesh dalam aksi persahabatan Sabtu ini, mampu menjadi tonik terbaik buat skuad Harimau Malaya.

Baginya, pencapaian itu mampu memberi nafas baru kepada skuad bimbingan Dollah Salleh mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

"Kebangkitan Harimau Malaya yang belum mencatat kemenangan pada kejohanan antarabangsa perlu dimulakan apabila kita bertemu Bangladesh pada aksi persahabatan antarabangsa Sabtu ini, untuk dijadikan tonik menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2018 nanti.

"Kita akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 3 September dan menentang Arab Saudi pada 8 September," katanya pada Kongres Tahunan FAM ke-51 di sini hari ini.

Pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste, skuad Harimau Malaya sekadar seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun lalu.

Stadium Nasional sekali lagi menjadi saksi kegagalan skuad kebangsaan yang gagal memanfaatkan peluang di tempat sendiri apabila dibelasah Palestin 0-6 dalam perlawanan kedua pada 16 Jun.

Malaysia kini di tangga tercorot selepas dua perlawanan Kumpulan A dengan mengutip satu mata, di belakang Timor Leste.

Selain prestasi skuad Harimau Malaya, Tengku Abdullah juga melahirkan kebimbangan terhadap kegagalan skuad Harimau Muda menyerlah di pentas Sukan SEA di Singapura, Jun lalu serta ranking pasukan kebangsaan yang kini berada di tangga ke-168 dunia.

Justeru, beliau mengharapkan kepimpinan persatuan bola sepak negeri dan kelab memberi sokongan dan membantu barisan kejurulatihan negara dalam melengkapkan pasukan kebangsaan dengan pemain yang berkaliber dan kompetitif.

"Kesediaan melepaskan pemain mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan wajar diberi keutamaan agar kita dapat membariskan pemain terbaik dalam mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2018 yang juga kelayakan Piala Asia 2019," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata semua pihak perlu memberi sokongan dan kerjasama dalam memastikan proses peralihan ke arah penswastaan Liga Malaysia berjalan lancar dan mendapat faedah yang diharapkan.

Beliau juga meminta semua pihak menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan sesuatu isu membabitkan pasukan masing-masing khususnya yang berdepan hukuman daripada FAM.

Menurutnya, adalah tidak manis mempertikai keputusan badan itu di media sedangkan badan perundangan FAM telah melakukan tanggungjawab sebagai satu badan bebas dan tidak bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Eksekutif persatuan berkenaan.

"Perlu diingatkan ia adalah badan yang bebas, tidak terikat dengan mana-mana negeri dan kelab, Ia dibarisi mereka yang berwibawa dalam bidang undang-undang dan pengurusan.

"Jika sudah jelas melakukan kesalahan, kenalah terima hukuman dengan sikap terbuka. FAM menyediakan ruang untuk melakukan rayuan. FAM sentiasa bagi ruang

seluas-luasnya untuk pastikan masalah dapat diselesaikan dengan baik," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X