Selasa, 1 September 2015 | 4:15pm

Pandelela direhatkan daripada sertai Kejohanan Terjun Piala Asia

PANDELELA Rinong Anak Pamg melakukan terjunan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia, Julai lalu. - Foto Reuters
PANDELELA Rinong Anak Pamg melakukan terjunan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Russia, Julai lalu. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Jurulatih terjun kebangsaan, Yang Zhuliang memilih untuk merehatkan Pandelela Rinong daripada menyertai Kejohanan Terjun Piala Asia 2015 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, bermula Jumaat ini.

Zhuliang berkata beliau mengambil keputusan itu berikutan penerjun berkenaan sudah pun layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

"Kami ingin memberi peluang kepada penerjun lain layak ke Sukan Olimpik. Penerjun utama lain akan menyertai acara itu kerana ia adalah kejohanan penting bagi penerjun Malaysia untuk layak ke Rio.

"Saya harap mereka akan melakukan yang terbaik, walaupun akan ada persaingan sengit daripada China dan Korea Selatan," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional di sini hari ini.

Malaysia sudah mendapat dua tempat dalam sukan Olimpik itu melalui Pandelela dan Ng Yan Yee ketika mereka menyertai Kejohanan Dunia di Kazan, Rusia.

Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform dan Yan Yee menduduki tempat kelapan dalam acara 3m papan anjal individu.

Berikutan ketiadaan Pandelela, Nur Dhabitah Sabri dan Loh Zhiayi akan bertanding dalam acara 10m platform wanita.

Selain Nur Dhabitah dan Zhiayi, Malaysia akan diwakili Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Chew Yiwei, Muhammad Syafiq Puteh, Traisy Vivien Tukiet, Cheong Jun Hoong, Kam Ling Kar dan Lai Pui Yee.

Begitupun, Zhuliang berkata, beberapa penerjun China yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Rio turut menyertai kejohanan ini kerana ingin mencari peluang untuk muncul sebagai juara.

Antaranya, penerjun terbaik China, Tai Xiaohu dan Ji Siyu.

Selain Malaysia, China dan Korea Selatan, lima negara lain iaitu Jepun, Indonesia, Qatar, Macau dan Uzbekistan akan turut menyertai kejohanan selama tiga hari itu. - BERNAMA

Berita Harian X