Rabu, 2 September 2015 | 5:19pm

Terjun: Dhabitah harap sertai lebih banyak kejohanan besar

PENERJUN Negara, Nur Dhabitah Sobri pada sidang akhbar Asian Diving Cup di Pusat akuatik Negara, Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun
PENERJUN Negara, Nur Dhabitah Sobri pada sidang akhbar Asian Diving Cup di Pusat akuatik Negara, Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri berharap untuk mendapat lebih banyak pendedahan dalam kejohanan besar termasuk di luar negara bagi meningkatkan keyakinan dirinya.

Dhabitah, 16, berkata di sebalik kejayaan pernah dicapainya dengan mencatatkan pencapaian terbaik merangkul pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) terjun seirama pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun lalu, beliau masih mempunyai kelemahan - kurang keyakinan diri.

"Kelemahan saya ialah kurang keyakinan untuk beraksi dalam kejohanan besar. Saya jarang sertai kejohanan luar negara dan bertemu penerjun luar, jadi agak gentar sedikit," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Dhabitah berkata kadang kala keyakinannya tidak berada dalam keadaan stabil, iaitu beliau tidak tahu apa yang perlu diluahkan ketika terbabit dalam kejohanan atau ketika membuat terjunan.

Katanya, kelemahannya itu akan dapat diatasi selepas dia mendapat pendedahan secukupnya.

Dhabitah berkata masalah keyakinan diri itu juga menjadi punca beliau melihat cabaran sukar untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro walaupun mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri pada kejohanan Terjun Piala Asia yang bermula Jumaat ini.

Katanya pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung hingga Ahad ini di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, beliau akan menerima saingan sengit daripada penerjun dari China dan Jepun.

"Penerjun dari China ada yang sudah layak ke Olimpik dan mereka juga bawa atlet utama mereka ... atlet muda China walaupun masih baru tapi mereka adalah atlet bertahap tinggi," katanya.

Dhabitah yang memperoleh pingat emas pada Sukan SEA Singapura menerusi acara 3m papan anjal seirama wanita bersama gandingan Ng Yan Yee, akan menyertai acara 3m papan anjal individu dan 10m platform individu pada Piala Asia ini.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg tidak akan menyertai kejohanan tersebut untuk memberi peluang kepada penerjun lain melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Malaysia sudah mendapat dua tempat dalam sukan Olimpik itu melalui Pandelela dan Ng Yan Yee ketika mereka menyertai Kejohanan Dunia di Kazan, Rusia apabila Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform dan Yan Yee menduduki tempat kelapan dalam acara 3m Papan Anjal individu. - Bernama

Berita Harian X