Isnin, 7 September 2015 | 2:03pm

Terjun: Pandelela puji Dhabitah, yakin mampu atasi rekod miliknya

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri. - Foto Osman Adnan
PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pandelela Rinong Pamg menganggap pencapaian Nur Dhabitah Sabri yang merekodkan mata 383.10 dan hampir mengatasi rekodnya sekarang iaitu 385.00 mata dalam acara 10m platform individu wanita, mampu pamer aksi lebih baik.

Pemegang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu berpendapat penerjun muda itu akan mampu mengatasi rekodnya itu jika diberikan pendedahan secukupnya.

Dia berbangga dengan pencapaian Nur Dhabitah yang mencipta rekod peribadi baharu bagi meraih pingat emas acara berkenaan pada kejohanan Terjun Piala Asia edisi keenam di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

Kejayaan atlet itu sekali gus melayakkannya ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil bersama Pandelela dalam acara 10m platform individu wanita.

"Saya gembira Dhabitah mempamerkan aksi yang baik. Tidak sangka beliau dapat mengatasi penerjun dari China. Memang penerjun China ada buat beberapa kesilapan.

"Dhabitah menggunakan peluang itu untuk memperbaiki terjunannya dan menambah mata.

"Lagipun sukan terjun kita tidak dapat agak, jika penerjun lain buat silap, itulah masanya kita rebut peluang untuk kumpul mata," katanya kepada pemberita di Bukit Jalil.

Pandelela berkata perbezaan mata yang sedikit antaranya dan Nur Dhabitah membuatkan beliau lebih bersemangat dalam menghadapi persaingan yang lebih sengit.

Katanya, sebagai persediaan untuk meningkatkan pencapaiannya, beliau akan memperbanyakkan siri latihan di samping menyertai kejohanan Terjun Grand Prix Kebangsaan bulan hadapan.

Selepas berakhir kejohanan Terjun Piala Asia 2015 yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad itu, empat penerjun negara berjaya menempah slot ke Rio.

Selain Nur Dhabitah, Ooi Tze Liang menjadi atlet lelaki tunggal negara yang bakal beraksi dalam dua acara iaitu 10m platform lelaki dan 3m papan anjal lelaki.

Sebelum ini Pandelela dan Ng Yan Yee melayakkan diri ke Rio menerusi kejohanan Terjun Akuatik Dunia di Kazan Russia, masing-masing dalam acara 10m platfrom wanita dan 3m papan anjal wanita.

Skuad terjun masih berpeluang menempah tiket ke Rio menerusi kejohanan Terjun Piala Dunia di Brazil pada Februari tahun hadapan. - BERNAMA

Berita Harian X