Isnin, 7 September 2015 | 8:53pm

Hoki: Van Huizen azam bawa kembali skuad negara ke landasan asal

STEPHEN Van Huizen dilantik sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan. - Foto Owee Ah Chun
STEPHEN Van Huizen dilantik sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Stephen Van Huizen yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, menyifatkan peranan yang bakal dipikulnya itu adalah satu tanggungjawab besar kepada negara.

Dia turut melahirkan keazaman untuk cuba melakukan yang terbaik untuk membawa negara kembali ke landasannya.

"Ia adalah satu tanggungjawab yang besar kepada saya kerana Malaysia mempunyai rekod layak ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia sehingga baru-baru ini.

"Apa yang kita akan lakukan adalah untuk kembali semula ke landasan," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan pelantikan Van Huizen sebagai jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Pelantikan bekas ketua pasukan skuad Olimpik Los Angeles 1984 itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Ow Soon Kooi pada sidang media di pejabat MHC di Bukit Jalil, di sini.

Van Huizen, 57, menggantikan Tai Beng Beng Hai selepas jurulatih itu berundur akibat gagal membawa skuad negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Jun lalu.

Mengulas lanjut, Van Huizen berkata beliau berasa berbesar hati atas pelantikan itu.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MHC atas keyakinan yang diberi kepadanya untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

"Saya akan berusaha untuk akan memastikan pasukan negara berada di tahap paling tinggi dari segi kekuatan mental dan fizikal sebelum berdepan dengan pusingan kelayakan Piala Dunia," katanya.

MHC turut melantik Lim Chow Chuan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan dan Beng Hai dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan yang sebelum ini disandang oleh Chow Chuan.

Dalam pada itu, Ow berkata pelantikan Van Huizen berdasarkan kontrak selama dua tahun untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di India.

Katanya, MHC akan melanjutkan kontraknya selama dua tahun lagi sekiranya Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Katanya, pelantikan Van Huizen dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas pemain antarabangsa dan juga jurulatih ketika Malaysia meraih pingat perak buat pertama kali pada temasya Sukan Asia pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

"Van Huizen juga merupakan jurulatih yang membawa Malaysia layak kali terakhir pada temasya Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000," katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh menyifatkan Stephen Van Huizen sebagai calon paling sesuai menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih, kemungkinan sehingga Sukan Olimpik Tokyo.

Dia yang juga bekas jurulatih kebangsaan pada tahun 1990-an, berkata, pihaknya sedang mengubah suai program transformasi hoki negara selaras dengan amalan kaedah kejurulatihan terbaik dunia. - BERNAMA

Berita Harian X