Rabu, 9 September 2015 | 4:57pm
SHAFIEN (dua dari kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
SHAFIEN (dua dari kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

11 ditahan buat kecoh di Stadium Shah Alam

SEBAHAGIAN daripada 11 individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan insiden kekecohan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Sekumpulan penonton yang ditahan di Stadium Shah Alam malam tadi, dipercayai memang berniat untuk mencetuskan kekecohan dan provokasi ketika aksi bola sepak Malaysia-Arab Saudi.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat, dalam sidang media di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

"Modus operandi mereka ialah masuk ke stadium, iaitu selepas perlawanan bermula kerana ketika itu kawalan sudah agak longgar," katanya.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, dua daripada 11 lelaki yang ditahan selepas kekecohan perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi itu disahkan mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan kerana terbabit dalam kes curi. 

Katanya, mereka yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 36 tahun itu termasuk lima pelajar institut pengajian tinggi (IPT). Semuanya bagaimanapun disahkan negatif dalam ujian air kencing.

"Semua individu ini ditahan dalam kalangan kira-kira 300 penyokong ultras," katanya.

Shafien juga mengesahkan bahan yang digunakan dalam insiden itu adalah suar, bom asap dan mercun.

ANTARA barangan yang dirampas dalam insiden kekecohan di Stadium Shah Alam malam tadi, dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP
ANTARA barangan yang dirampas dalam insiden kekecohan di Stadium Shah Alam malam tadi, dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP

Katanya, semua yang ditahan direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kita mula perhatikan suspek sejak awal permainan lagi. Selepas membakar suar dan mercun itu, mereka cuba melarikan diri, namun anggota kami bertindak pantas mencekup 11 orang ini," katanya.

Shafien berkata, siasatan awal juga mendapati kerusi penonton turut dipatahkan sebelum dibaling ke bawah dalam insiden kira-kira jam 10.45 malam itu.

Katanya, ahli kumpulan berkenaan berkomunikasi sesama mereka dengan menggunakan telefon bimbit bagi memaklumkan mengenai pergerakan dalam stadium.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Kesiksaan," katanya.

Kejadian penonton membaling suar, bom asap dan mercun ke padang itu menyebabkan aksi Malaysia-Arab Saudi dihentikan pada minit ke-88 atas faktor keselamatan.

Sebelum dihentikan Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1. Ia adalah perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bagi Kumpulan A.

Berita Harian X