Rabu, 9 September 2015 | 5:27pm

FAM bantu polis siasat kekecohan di Stadium Shah Alam

PENYOKONG bertindak membakar suar pada masa kedua perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA
PENYOKONG bertindak membakar suar pada masa kedua perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalin kerjasama dengan polis bagi membantu siasatan insiden kekecohan di Stadium Shah Alam ketika aksi Malaysia-Arab Saudi bagi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah sebentar tadi.

Beliau turut mengesahkan pesuruhjaya perlawanan berkenaan juga sudah menyerahkan laporan kejadian itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"FAM memandang serius terhadap isu keselamatan stadium terutamanya mengenai isu keselamatan semua pihak termasuklah penonton, pemain dan pegawai yang berada di stadium.

"FAM akan menunggu keputusan FIFA berhubung perkara ini dan akan mengumumkan keputusan berkenaan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum perlawanan itu dihentikan, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1.

Skuad Harimau Malaya meraih jaringan tunggal itu menerusi jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong pada minit ke-88, berikutan tindakan liar segelintir penyokong yang bertindak membaling suar dan mercun roket ke kawasan padang.

Berdasarkan peraturan, FIFA boleh membuat keputusan sama ada meneruskan perlawanan berbaki dua minit itu, atau memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi. - BERNAMA

Berita Harian X