Ahad, 11 Oktober 2015 | 10:28am

Yusry Che Lah terima anugerah khas kecemerlangan sukan Perlis

Yusry Che Lah
Yusry Che Lah

KANGAR: Ketua jurulatih bola sepak Perlis, Yusry Che Lah menerima anugerah khas kecemerlangan sukan atas kejayaannya membawa Perlis menjuarai Liga Piala FAM tahun ini yang membolehkan Perlis beraksi dalam Liga Perdana tahun depan.

Penganugerahan diadakan di sini malam tadi pada majlis penyampaian Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) sempena Hari Sukan Negara peringkat negeri, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Sementara itu anugerah OKU Pemimpin dimenangi oleh Anggota Jawatankuasa Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Perlis (PESRON) yang juga jurulatih olahraga atlit paralimpik negeri, Mohamed Fadzli Othman.

Bagi kategori Pemimpin Lelaki, ia dimenangi Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Perlis, Iyaru Muthusamy manakala bagi kategori Keluarga Aktif, dimenangi oleh Abdul Rashid Mahamoud yang aktif dalam olahraga, kecergasan, kesihatan, senamrobik dan lompat tali.

Bagi kategori persatuan, PESRON meraih tempat pertama sementara tempat kedua diraih Kelab Muay Thai Tanji Kangar.

Anugerah Tokoh Sukan pula disandang oleh Rektor UiTM Perlis, Datuk Prof Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman. - BERNAMA

Berita Harian X