Sabtu, 17 Oktober 2015 | 10:54pm

Hoki: Malaysia temu Argentina tentu tempat ketiga/ empat, esok

PEMAIN Malaysia, Shahril Saabah menahan asakan pemain Pakistan, Atif Mushtaq dan penjaga gol Pakistan Muhammad Khalid ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2015 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
PEMAIN Malaysia, Shahril Saabah menahan asakan pemain Pakistan, Atif Mushtaq dan penjaga gol Pakistan Muhammad Khalid ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2015 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara menebus kekecewaan dengan menundukkan Pakistan 3-1 di kejohanan hoki Piala Sultan Johor ke-5 di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam tadi.

Anak buah Arul Selvaraj yang nyata mahu memulihkan kekecewaan selepas kalah kepada India Khamis lalu, bangkit dengan semangat tinggi dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang Pakistan sebaik permainan dimulakan.

Taktik serangan nyata membuahkan hasil apabila tuan rumah memperoleh gol pertama melalui pukulan sudut penalti pertama yang disempurnakan Muhammad Shahril Saabah pada minit keempat.

Dua minit kemudian, skuad negara memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti ketiga yang disempurnakan Muhd Najmi Farizal Jazlan.

Pakistan yang dikendalikan jurulatih Tahir Zaman itu, bagaimanapun gagal memanfaatkan pukulan sudut penalti pertama mereka pada minit ke-11 dalam misi mencari gol pertama pasukan.

Skuad Projek 2016 itu mendahului Pakistan 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Pakistan tidak patah semangat dalam memburu gol mereka dan terus membuat asakan demi asakan ke gawang Malaysia.

Kecekapan penjaga gol negara, Mohammad Ridzwan Azmi seharusnya mendapat pujian kerana berjaya menyelamatkan beberapa cubaan bahaya dari Pakistan.

Ketika permainan berbaki sembilan minit, skuad negara memperoleh gol ketiga menerusi jaringan Muhammad Shahril yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Muhammad Khalid.

Pakistan yang tidak putus semangat memperoleh gol sagu hati dua minit sebelum permainan tamat menerusi pukulan sudut penalti Abu Mahmood.

Dengan kemenangan kedua ini, skuad negara akan bertemu Argentina bagi penentuan tempat ketiga dan keempat esok, sekali gus memperbaiki kedudukannya pada kejohanan lepas iaitu tempat kelima.

Pakistan pula akan bertemu Australia bagi menentukan tempat kelima dan keenam.

Terdahulu, Great Britain dan India, masing-masing menempah tiket ke final selepas menewaskan lawan masing-masing.

Great Britain menang mudah 3-0 ke atas Argentina dengan semua gol datangnya daripada pukulan sudut penalti Luke Taylor pada minit ke-14 dan 37 serta Sam French pada minit ke-24.

Juara bertahan, India pula menang tipis ke atas Australia 1-0 hasil jaringan penalti strok Harmanpreet Singh. - BERNAMA

Berita Harian X