Selasa, 20 Oktober 2015 | 10:10am

Kim Swee mohon bimbing terus Harimau Malaya

GAMBAR fail, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tiba di lapangan terbang KLIA, selepas membawa pasukan Malaysia itu menewaskan Timur Leste, 1-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Asia 2019, 14 Oktober lalu. - Foto BERNAMA
GAMBAR fail, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tiba di lapangan terbang KLIA, selepas membawa pasukan Malaysia itu menewaskan Timur Leste, 1-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Asia 2019, 14 Oktober lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ada perkembangan positif buat pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee selepas mengesahkan sudah menghantar permohonan rasmi untuk jawatan di 'kerusi panas' itu secara tetap.

Pastinya selepas mengharungi tiga perlawanan, menentang Arab Saudi, Laos dan Timor Leste, Kim Swee menerima reaksi balas cukup baik untuk dikekalkan ketika pasukan perlu bangkit memperbaiki kedudukan ranking 171 dunia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menubuhkan satu pasukan khas diketuai Timbalan Presiden, Datuk Mokhtar Ahmad akan menerajui proses pemilihan jurulatih baharu.

"Saya sudah hantar surat untuk jawatan ketua jurulatih kebangsaan. Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira tiga perlawanan sebelum ini.

"Saya juga mendapati reaksi positif dan merasakan pemain yang ada ketika ini mampu bangkit semula terutamanya untuk baiki kedudukan ranking dan dalam baki perlawanan peringkat kumpulan (kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019)," kata Kim Swee semalam.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Malaysia kini menghuni tangga keempat Kumpulan A dengan meraih empat mata ketika Arab Saudi di puncak (9 mata), Emiriah Arab Bersatu (7 mata), Palestin (5 mata) manakala Timor Leste tercorot (2 mata).

.

Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara selepas peletakan jawatan Dollah Salleh berikutan prestasi kurang menyerlah Harimau Malaya terutama tewas teruk 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, 3 September lalu.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah berupaya mengubah pasukan kebangsaan dalam tempoh yang singkat bermula pada kejohanan Piala Suzuki AFF tahun depan.

Sebelum ini antara individu dilaporkan memohon jawatan berkenaan termasuk bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim, Bojan Hodak; bekas jurulatih Kelantan, George Boateng dan bekas jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

"(Calon lain) masing-masing ada kredibiliti sendiri. Pasukan khas ada pengalaman cukup baik dan turut dianggotai B Sathianathan. Tetapi sudah tentu apabila saya diberi peluang, saya ada perancangan untuk pasukan," katanya.

Berita Harian X