Jumaat, 20 November 2015 | 4:01pm

TNB taja RM20 juta untuk hoki negara

KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman menyerahkan replika cek tajaan berjumlah RM20 juta kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman menyerahkan replika cek tajaan berjumlah RM20 juta kepada Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghulurkan tajaan berjumlah RM20 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, tajaan itu adalah bagi penganjuran liga hoki tempatan termasuk TNB Liga Malaysia Premier (TNB-MHL), TNB Liga Malaysia Divisyen 1 (lelaki dan wanita), TNB Liga Remaja Malaysia dan liga peringkat negeri.

"Tajaan RM4 juta setahun itu meliputi RM1.9 juta bagi penganjuran kejohanan tempatan pasukan senior lelaki dan wanita. Ini kerana kita juga mahu beri lebih perhatian kepada pembangunan hoki wanita.

"Sebanyak RM700 ribu pula akan digunakan untuk kejohanan remaja serta program pembangunan mereka dan bakinya bagi penganjuran Piala Razak," katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat TNB, di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Subahan yang mewakili KHM dan TNB diwakili Ketua Pegawai Korporatnya, Datuk Roslan Ab Rahman.

Subahan berkata, tajaan itu penting kerana meringankan beban kewangan KHM, sambil membantu memantapkan usaha pembangunan bagi atlet senior dan remaja.

Sebagai rekod, TNB sudah menyalurkan sebanyak RM15.8 juta kepada KHM sejak tahun 2006 untuk menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi tempoh sama, sebanyak RM4 juta digunakan untuk pembangunan sukan hoki di peringkat akar umbi sehingga TNB berjaya menggilap bakat muda seperti Shahril Shaabah, Faizal Saari, Fitri Saari dan Firhan Ashaari.

Sementara itu, Roslan berkata menerusi penajaan itu, KHM bersetuju menamakan kejohanan anjurannya dengan nama TNB serta memberikan hak eksklusif sebagai 'Rakan Rasmi'.

Roslan berkata, TNB sangat sinonim dengan sukan hoki yang mana sejak tahun 70an, ratusan pemain negara adalah anggota kerja TNB seperti Datuk Poon Fook Look dan Lailin Abu Hassan.

Katanya, sejak tahun 2000, TNB mempunyai 30 pemain yang mewakili negara dan ketika ini antara petugas TNB dalam skuad kebangsaan adalah penjaga gol kebangsaan, S Kumar, Shazril Izwan Nazeli, Mohamad Ramadhan Rosli dan Norhizat Sumantri.

-- BERNAMA

Berita Harian X