Khamis, 3 Disember 2015 | 11:56pm

Program Hendrawan sukar tapi bagus - Chong Wei

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Hasriyasyah Sabudin.
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sudah dapat menyesuaikan diri dengan progam latihan diterapkan Hendrawan dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada jurulatih itu untuk membantunya menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemain berusia 33 tahun itu mengakui, meskipun program latihan jurulatih itu agak sukar, kesannya cukup positif dan ia dapat dilihat melalui corak permainannya yang kini jelas berbeza.

"Sejak dulu lagi saya tidak pernah mengadu mengenai jurulatih saya, siapa pun yang BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pilih untuk melatih saya, saya terima...saya tidak kisah.

"Mungkin ramai yang lihat selepas saya menang dalam tiga kejohanan Siri Super (Terbuka Perancis, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong) permainan saya sudah banyak berubah.

"Dulu mungkin saya lebih banyak menyerang tetapi kini berbeza, dengan corak permainan yang pelbagai. Hendrawan memang banyak membantu saya.

"Setiap jurulatih berbeza, Hendrawan ada kelebihannya dan begitu juga Tey Seu Bock. Mungkin sekarang saya dengan Hendrawan tetapi dengan bantuan daripada Seu Bock, termasuk apa yang diberi jurulatih terdahulu seperti Li Mao dan Datuk Misbun Sidek, kini ada banyak pilihan dalam corak permainan saya," kata Chong Wei pada sidang media jelajah program 'Yonex Legend Vision', di sini.

Mengulas lanjut, Chong Wei yang juga pemain nombor tiga dunia, mendedahkan Hendrawan meminta dia diberikan tempoh sehingga Disember untuk membantu dirinya dan jika program latihan yang diterapkannya tidak sesuai, Chong Wei boleh kembali mengikut program asalnya.

"Pada mula Hendrawan melatih saya, memang saya tidak biasa kerana sudah biasa dengan program latihan Seu Bock.

"Latihan dia memang sukar tetapi apabila saya pulang bincang dengan isteri saya (Datin Wong Mew Choo), dia beri motivasi dan beritahu saya setiap jurulatih berbeza," katanya.

Berita Harian X