Jumaat, 4 Disember 2015 | 12:54am

Perasmian APG pukau 6,000 penonton

KONTINJEN negara yang diketuai pelari pecut paralimpik negara Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi di Stadium Tertutup Singapura. - Foto BERNAMA
KONTINJEN negara yang diketuai pelari pecut paralimpik negara Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi di Stadium Tertutup Singapura. - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Singapura menampilkan upacara perasmian yang menakjubkan bagi menandakan bermulanya Sukan Para ASEAN (APG) kelapan, di sini, malam ini, walaupun pertama kali menganjurkan sukan dwitahunan untuk orang kelainan upaya (OKU) itu.

Upacara itu yang menampilkan persembahan oleh 661 penghibur dan 454 pelajar dari 15 sekolah pendidikan khas, 174 sukarelawan dan 120 motivator meniupkan keyakinan dan semangat juang dalam kalangan atlet selain memukau sekitar 6,000 penonton di Stadium Tertutup Singapura, di sini.

Persembahan itu yang bersempena dengan sambutan jubli emas republik itu, turut menyediakan interpretasi bahasa isyarat dan paparan sari kata untuk penonton OKU yang menghadapi masalah visual dan pendengaran.

Upacara berwarna-warni itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen di Singapura, Malaysia dan Filipina serta laman media sosial dirasmikan oleh Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Chef-de-Mission, Dr Ang Kean Koo dan atlet pecut Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi, yang membawa Jalur Gemilang berarak masuk ke dalam stadium dengan memakai jaket berwarna kuning dan seluar trek berjalur hitam melambangkan 'Harimau Malaya'.

Kontinjen negara terdiri daripada 197 atlet dan 119 pegawai akan menyertai semua 15 acara sukan yang dipertandingkan - badminton, boccia, memanah, olahraga, perahu layar, ping pong, angkat berat, renang, bola keranjang kerusi roda, bola sepak lima sebelah dan tujuh sebelah, goalball, tenpin boling, menembak dan catur.

Sepuluh negara Asia Tenggara yang menyertai edisi sukan itu ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Thailand, Myanmar, Vietnam dan tuan rumah Singapura.

Timor Leste tidak mengambil bahagian selepas Majlis Paralimpik Kebangsaan negara itu digantung oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), minggu lalu.

Pada edisi sebelumnya di Nay Pyi Taw, Myanmar pada Januari 2014, kontinjen Malaysia menduduki tempat ketiga dengan merangkul 49 emas, 46 perak dan 37 gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X