X
Sabtu, 5 Disember 2015 | 1:57pm

Bhavilai presiden baharu Persekutuan Para ASEAN

SINGAPURA: Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Thailand (NPC), Mej Jen Osoth Bhavilai dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi penggal 2016-2019.

Beliau memegang jawatan itu selepas mengalahkan Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (PCM), Ng Keng Chuan pada pemilihan anggota Lembaga Eksekutif di Marina Bay Sands di sini, yang berakhir lewat malam tadi.

Menurut kenyataan APSF, dalam pertandingan satu lawan satu membabitkan pengundian sembilan negara, Osoth, 64, mendapat lapan undi, manakala Ng hanya satu.

Bekas presiden, Datuk Zainal Abu Zarin, yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal sebelum ini, mengundur diri dan tidak bertanding.

"Harapan saya, Datuk Zainal, yang kaya dengan pengalaman itu, akan terus menyumbang dan berkongsi pengalaman berharganya dengan jawatankuasa baharu ini," kata Osoth dalam ucapan sulung beliau sebagai presiden, sambil mengucapkan terima kasih kepada Zainal kerana membawa APSF ke tahap pencapaian lebih tinggi sejak penubuhannya pada 2001.

Osoth, yang memiliki Ijazah Sarjana Sastera, menganggotai APSF itu sejak penubuhannya selain menjadi Chef-de-Mission kontinjen Thailand ke Sukan Paralimpik 2004, 2008 dan 2012.

APSF, yang bertindak sebagai badan pengelola pergerakan paralimpik di Asia Tenggara, terdiri daripada negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Timor Leste bertaraf anggota sementara Persekutuan itu.

Empat naib presiden yang dipilih bagi penggal 2016-2019 ialah Vu The Piet dari Vietnam (Jawatankuasa Sukan), yang mendapat empat undi, dan Dr Than Than Htay dari Myanmar (Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan) yang memperoleh tujuh undi.

Yi Veasna dari Kemboja (Jawatankuasa Pembangunan) dan Dr Kesone Sisongkham dari Laos (Jawatankuas Media & Pemasaran), masing-masing menang tanpa bertanding.

Jawatan bendahari dimenangi Nopodol Jiraboondilok dari Thailand setelah mendapat lapan undi, berbanding Dr Ang Kean Koo dari Malaysia yang hanya memperoleh satu undi.

Senarai Lembaga Eksekutif APSF 2016-2019:

Presiden: Mej Jen. Osoth Bhavilai (Thailand).

Naib Presiden:

1. Vu The Piet (Vietnam) - Jawatankuasa Sukan

2. Than Than Htay (Myanmar) - Jawatankuasa Perubatan dan Sains Sukan

3. Yu Veasna (Kemboja) - Jawatankuasa Pembangunan

4. Dr Kesone Sisongkham (Laos) - Jawatankuasa Media & Pemasaran

Bendahari: Nopodol Jiraboondilok (Thailand)

(Nota: Jawatan setiausaha agung dan penolong setiausaha agung adalah melalui lantikan)

-- BERNAMA

Berita Harian X