Isnin, 7 Disember 2015 | 10:46pm

Fergie bimbang impak Klopp

PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS
PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS

LONDON: Bekas pengendali Manchester United, Alex Ferguson mengakui bimbang dengan impak yang dibawa Juergen Klopp ke seteru tradisi kelab lamanya, Liverpool.

"Saya bimbang dengannya kerana satu-satunya perkara yang United tidak mahu ialah Liverpool berada di atas kami," kata Ferguson, pengendali paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Klopp, yang memacu Borussia Dortmund kepada dua kejuaraan Bundesliga dan final Liga Juara-Juara, mengambil alih tugas di Anfield daripada Brendan Rodgers pada Oktober dan berjaya menyuntik nafas baharu kepada Liverpool.

Pengendali berusia 48 tahun dari Jerman itu bermula cemerlang sebagai `bos' Liverpool, memenangi tujuh daripada 12 perlawanan pertamanya dalam semua kejohanan.

Liverpool kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris, enam mata di belakang United, yang menduduki tangga keempat dan sembilan di belakang pendahulu, Leicester City.

Walaupun tewas 2-0 kepada Newcastle United semalam, Ferguson berkata, ia adalah sebahagian daripada proses Klopp membentuk semula Liverpool.

Ferguson turut mengulas berkenaan pengendali Chelsea, Jose Mourimho, yang mengalami permulaan musim paling buruk dalam kariernya serta kelab.

"Tidak guna untuk memecat seorang pengendali terbaik sepanjang zaman, dia memenangi Kejuaraan Eropah sebanyak dua kali, memenangi liga di setiap negara yang dia bekerja.

"Satu tindakan bodoh jika memecatnya. Itu dianggap pengurusan yang gagal, ia bukannya kepemimpinan." - REUTERS

Berita Harian X