Khamis, 10 Disember 2015 | 1:04am

Selamat tinggal Singapura, jumpa di KL 2017

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan mengibarkan bendera pada upacara penutup Sukan Para ASEAN (APG) di Marina Bay Sands, malam tadi. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan mengibarkan bendera pada upacara penutup Sukan Para ASEAN (APG) di Marina Bay Sands, malam tadi. - Foto BERNAMA

SINGAPURA: Misi penting merampas kembali juara keseluruhan Sukan Para ASEAN (APG) selepas 16 tahun terarah ke Malaysia selaku tuan rumah edisi 2017, sebaik obor kejohanan 2015 di Marina Bay Sands dipadamkan malam ini.

Upacara penutup yang menyaingi kemeriahan majlis pembukaan temasya ini, dilakukan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang negaranya menganjurkan sukan ini untuk kali pertama.

Detik penting untuk atlet ini pastinya ketika diarak masuk ke dewan mengikut negara, sama seperti sewaktu upacara pembukaan, dengan kebanyakan mereka memakai pakaian sukan serta mengibarkan bendera kecil negara masing-masing.

Ketika tirai temasya dilabuhkan di sini malam ini, tumpuan beralih kepada Malaysia yang akan menganjurkan edisi seterusnya yang dilangsungkan selepas menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Ia juga menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling banyak menganjurkan APG selepas menjadi tuan rumah edisi pertama pada 2001 diikuti 2009 selepas tuan rumah Sukan SEA 2009, Laos menarik diri akibat masalah kewangan serta kurang pengalaman dalam menyediakan kemudahan sukan yang mesra orang kelainan upaya.

Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Grace Fu menyerahkan bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) kepada Presiden APSF Datuk Zainal Abu Zahrin, yang kemudian memberikannya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Jalur Gemilang kemudian dinaikkan diiringi lagu Negaraku.

Saravanan kemudian menyerahkan 'Rimau', patung Harimau Malaya, sebagai simbol semangat juang atlet kepada Grace, diikuti persembahan kebudayaan dari Malaysia.

Sukan SEA 2017 dan APG sangat istimewa kerana ia bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-60.

Majlis malam ini juga menandakan tamatnya tempoh Zainal sebagai Presiden APSF selepas memutuskan untuk mengundurkan diri sesudah 15 tahun memegang jawatan itu.

Seramai 3,000 atlet dari 10 negara ASEAN mengambil bahagian dalam 15 acara sukan dan kontinjen negara seramai 316 orang merangkumi 197 atlet dan 119 pegawai menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan mengutip 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa.

-- BERNAMA

Berita Harian X