Selasa, 15 Disember 2015 | 5:44pm

Shaharuddin ganti Zainal kendali Pahang

ZAINAL Abidin Hassan. - Foto Osman Adnan
ZAINAL Abidin Hassan. - Foto Osman Adnan

KUANTAN: Teka-teki ketua jurulatih baharu yang mengendalikan skuad Pahang terjawab semalam, apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengumumkan pelantikan Ahmad Shaharuddin Rosdi selaku pengendali skuad itu musim depan.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi sebelum ini yang Zainal Abidin Hassan meninggalkan skuad Tok Gajah untuk menyertai sebuah pasukan Liga Super di Lembah Klang.

Bagi Shaharuddin, 40, beliau menerima tanggungjawab itu dengan amanah besar dan percaya pengalaman selaku penolong jurulatih sejak enam musim lalu membantu memperkasakan skuad Tok Gajah musim depan.

"Memang terkejut apabila diumum sebagai pengganti Zainal Abidin tetapi kepercayaan yang diberikan PBNP memberi semangat dan motivasi terbaik buat saya.

"Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan ia bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan kejayaan yang dikecapi skuad Pahang selama ini hingga muncul antara pasukan terbaik di negara ini.

"Apa yang boleh saya katakan adalah pelantikan ini rezeki buat saya. Pengalaman dan khidmat yang diberikan selama ini dihargai. Saya akan berusaha melakukan yang terbaik buat skuad Tok Gajah musim depan.

"Saya harap semua pihak memberikan sokongan dan peluang untuk saya membuktikan kemampuan sebenar apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan," katanya semalam.

Shahruddin memulakan kerjaya sebagai pemain bersama Pahang dari 1994 hingga 2003 dan pernah membantu pasukan itu meraih gelaran juara Liga Perdana pada 1995 serta naib juara Piala Malaysia (1995 dan 1997).

Beliau pernah beraksi bersama skuad kebangsaan dari tahun 1998 hingga 2002.

Shahruddin memulakan kerjaya selaku penolong jurulatih untuk skuad belia bawah 19 tahun (2007-2008) dan jawatan sama untuk skuad Piala Presiden Pahang (2009-2010) sebelum dilantik selaku penolong jurulatih skuad Liga Super Pahang pada 2010-2015.

Berita Harian X