Khamis, 17 Disember 2015 | 2:58pm

Khairul berat hati tinggalkan Pahang

PENJAGA gol Pahang, Khairul Azhan Khalid. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENJAGA gol Pahang, Khairul Azhan Khalid. - Foto Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Khairul Azhan Khalid menegaskan dia terpaksa berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan meninggalkan Pahang.

Menurut penjaga gol itu, hatinya terlalu berat untuk meninggalkan pasukan tempat kelahirannya itu, namun demi masa depan dan kerjaya bola sepak profesional, dia terpaksa mencari haluan baharu.

"Saya ada menerima tawaran yang dianggap menarik, namun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya kerana perlu mengadakan perbincangan lanjut.

"Malah saya tidak akan bertindak terburu-buru membuat keputusan kerana ia penting demi masa depan saya," katanya.

Penjaga gol kebangsaan itu antara pemain Tok Gajah yang mengesahkan meninggalkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) musim depan selepas mendapat persetujuan pengurusan.

Turut mengucapkan selamat tinggal adalah ketua pasukan, Razman Roslan selain Hafiz Kamal, Azamuddin Akil dan Azidan Sarudin.

Malah kedudukan tiga pemain import iaitu Damion Stewart, Dickson Nwakamae dan Matias Conti juga masih belum pasti, sekali gus perkembangan itu harus membuatkan jurulatih baharu, Ahmad Shaharuddin Rosdi 'pening kepala' dalam membentuk pasukan mantap.

Berita Harian X