Isnin, 21 Disember 2015 | 7:03am

Terlalu sukar tinggalkan Tok Gajah: Azamuddin

PEMAIN Pahang, Azamuddin Mohd Akil. - Foto Mohd Rafi Mamat.
PEMAIN Pahang, Azamuddin Mohd Akil. - Foto Mohd Rafi Mamat.

KUANTAN: Penyerang kebangsaan, Azamuddin Mohd Akil mengambil keputusan nekad meninggalkan skuad Pahang untuk bersama Johor Darul Ta`zim (J DT) musim depan kerana mahu mencari cabaran baharu.

Azamuddin berkata, selepas 11 musim bersama Tok Gajah, sudah tiba masanya dia mengharungi cabaran baharu yang dapat menguji kebolehan dan kemampuannya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Sebenarnya, terlalu sukar untuk saya mengambil keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah, namun demi pembangunan kerjaya dan mengambil kira pelbagai perkara... saya terpaksa melakukannya," katanya semalam.

Azamuddin atau lebih terkenal dengan panggilan Alex berkata, dengan barisan bintang dalam pasukan JDT, dia terpaksa melipatgandakan usaha bagi menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan pada musim depan.

Selain bersaing dengan pemain import, katanya dia juga perlu membuktikan kebolehan yang lebih daripada pemain JDT jika ingin muncul sebagai penyerang disegani seperti ketika beraksi dengan Tok Gajah.

"Cabaran itu sememangnya saya cari sehingga mendorong saya mengambil keputusan meninggalkan Tok Gajah yang mengecap banyak kejayaan pada musim lalu apabila menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia," katanya. 

Azamuddin yang pernah bersama pasukan Shahzan Muda pada musim 2005 berkata, dia yakin corak permainannya akan lebih baik musim depan terutama dalam usaha membuktikan kepercayaan yang diberikan pengurusan JDT.

Katanya, sokongan dan kepercayaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terutama presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Berita Harian X