Isnin, 28 Disember 2015 | 10:00am

Pahang umum barisan awal Januari

BEKAS jurulatih Skuad Tok Gajah, Pahang Zainal Abidin Hassan (kiri) bersama ketua jurulatih baharu Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi (kanan) ketika sidang media di Kuantan pada 18 Disember lalu. - Foto Asrol Awang
BEKAS jurulatih Skuad Tok Gajah, Pahang Zainal Abidin Hassan (kiri) bersama ketua jurulatih baharu Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi (kanan) ketika sidang media di Kuantan pada 18 Disember lalu. - Foto Asrol Awang

KUANTAN: Ketua jurulatih baharu Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi masih lagi berteka-teki dalam mengumumkan senarai barisan pemain yang akan menyarung jersi skuad Tok Gajah itu musim 2016.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, setakat ini, tiada kenyataan rasmi berhubung senarai nama pemain yang akan memperkuatkan barisan juara empat kali Piala Malaysia itu.

Katanya, segala-galanya masih lagi dalam perbincangan walaupun semua pihak, khususnya peminat setia skuad Tok Gajah menantikan senarai pemain yang dikatakan bakal dibarisi pemain baharu.

"Tiada kata putus senarai pemain yang akan membawa cabaran Pahang selepas berlakunya penghijrahan beberapa pemain utama ke pasukan lain.

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini adalah kami (pengurusan) masih lagi dalam perbincangan untuk menyenaraikan pemain yang akan memperkuatkan jentera skuad Tok Gajah musim depan.

"Saya harap peminat bersabar menantikan pengesahan rasmi yang akan diumumkan selewat-lewatnya awal Januari ini, memandangkan Pahang perlu menjalani latihan lebih awal untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Saya harap barisan pemain yang diumumkan nanti akan memberikan seluruh komitmen terhadap pasukan terutama memastikan kejayaan bermakna diraih musim 2016," katanya di sini semalam.

Difahamkan, bukan lima pemain utama yang memilih pasukan baharu, malah hampir separuh pemain musim ini membuat keputusan meninggalkan Pahang selepas kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Namun, beberapa pemain senior skuad itu tetap menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP). Antaranya Mohd Saiful Nizam Miswan, Mohd Shahrizan Salleh, Nasril Nourdin, Mohd Fauzi Rozlan.

Setakat ini, pemain yang sah meninggalkan Pahang adalah Mohd Razman Roslan, Azamuddin Mohd Akil, R Gopinathan, Khairul Azhan Mohd Khalid dan Mohd Hafiz Kamal.

Justeru, Shaharuddin yang menggantikan Zainal Abidin Hassan mahu barisan terbaik dapat dibentuk dalam usaha untuk memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan biarpun berlaku perubahan dalam senarai pemain musim 2016.

"Sokongan padu daripada penyokong juga diharap membantu memberikan suntikan semangat kepada pemain supaya lebih bersedia menempuh cabaran musim depan," katanya.

Berita Harian X