Isnin, 4 Januari 2016 | 8:33pm

Saya hanya 'bercuti' ketika di United: Pogba

 BINTANG tengah Perancis, Paul Pogba.
BINTANG tengah Perancis, Paul Pogba.

LONDON: Bintang tengah Perancis, Paul Pogba memberi gambaran dia sekadar bercuti ketika menyarung jersi Manchester United - berbeza dengan standard tinggi dituntut gergasi Serie A, Juventus.

Pogba yang ketika ini menjadi buruan hangat beberapa kelab ternama meninggalkan Old Trafford pada 2012 selepas hanya melakukan tiga penampilan di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Bersama Juventus, dia membantu kelab gergasi Itali itu menjuarai tiga gelaran domestik berturut-turut sejurus meninggalkan kelab Inggeris itu.

"Orang perlu tahu tiada apa yang mudah bersama Juve," kata Pogba kepada akhbar Itali, La Stampa. "Ada perbezaan dari sudut budaya kerja berbanding di tempat lain.

"Saya pernah berada di Manchester dan ia nampak seperti sedang bercuti. Di sini, kami bekerja dengan amat keras. Untuk kesemua gelaran, kami tidak 'mencuri' mereka. Ia adalah kerja keras sehingga penamatnya."

Pogba yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, Manchester City dan Chelsea sejak beberapa bulan lalu dilihat bergambar dengan rakan senegaranya, Mario Balotelli, petang Ahad lalu.

Mengulas mengenai spekulasi membabitkan perpindahannya, Pogba menggelar dirinya sebagai 'bukan sesiapa pun' pada awal minggu ini di sebalik minat yang ditampilkan beberapa kelab ternama itu untuk mendapatkan khidmatnya.

"Dalam sejarah Juve, ia adalah jersi yang amat penting dan saya amat bangga. Apabila saya melihat kepada jersi itu, saya tidak melihat nombor atau nama saya, saya hanya melihat Juve, dengan keinginan untuk memberikan 100 peratus dan menang," kata Pogba.

"Saya belum lagi menjadi sesiapa pun, saya belum lagi melakukan apa-apa dalam karier saya," katanya. - Agensi

Berita Harian X