Isnin, 4 Januari 2016 | 11:29pm

Terengganu muktamad atlet SUKMA pada Mac

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menetapkan Mac sebagai tempoh akhir untuk mereka menentukan jumlah sebenar atlet yang akan mewakili negeri itu ke SUKMA Sarawak Julai ini.

Timbalan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu, berkata seramai 600 atlet termasuk lelaki dan wanita sedang menjalani latihan bagi persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Saya harap mereka (atlet) dapat meningkatkan prestasi masing-masing untuk merebut tempat dalam kontinjen Terengganu ke Sarawak nanti," katanya hari ini.

Ibni Amin berkata, sebanyak 24 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma kali ini tetapi Terengganu tidak akan menyertai semuanya.

Bagaimanapun, Terengganu tetap menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan SUKMA kali ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembinaan velodrom di Dungun belum dilaksanakan kerana pihaknya masih menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat.

Velodrom itu adalah yang pertama seumpamanya akan dibina di Dungun dan ia sebagai usaha mengembangkan sukan berbasikal di negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X