Rabu, 6 Januari 2016 | 9:41am

Lin Dan tetap musuh utama Chong Wei

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan pemain China, Lin Dan (kanan). - Foto AFP
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan pemain China, Lin Dan (kanan). - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki, Tey Seu Bock meramalkan bintang sensasi China, Lin Dan tetap akan menjadi musuh nombor satu Datuk Lee Chong Wei dalam misi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

Katanya, biarpun seorang lagi bintang China, Chen Long dilihat lebih konsisten selain memegang status pemain nombor satu dunia, namun Lin Dan disifatkan memiliki perwatakan serta kekuatan mental yang luar biasa sekali gus mampu untuk kembali bangkit pada bila-bila masa.

"Dalam saingan badminton dunia, hanya Lin Dan dan Chong Wei yang mental kuat (luar biasa). Biarpun kedua-duanya semakin berusia tetapi mereka masih boleh mengikut rentak pemain muda.

"Saya percaya Lin Dan akan kembali bangkit kerana dia seorang pemain yang mempunyai keinginan tinggi selain pengalamannya.

"Chen Long memang lebih konsisten tetapi corak permainan dia boleh dibaca, berbanding Lin Dan kita sukar nak ramal corak permainannya, dia sentiasa tampil dengan strategi berbeza," kata Seu Bock, semalam.

Chong Wei dua kali gagal dalam usaha membawa pulang emas Sukan Olimpik apabila tewas kepada Lin Dan dalam aksi final edisi Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan Olimpik 2012 di London.

Mengulas lanjut, Seu Bock, berkata tahun 2016 disifatkan sebagai mencabar buat dirinya kerana bukan saja perlu membantu mempersiapkan Chong Wei ke Rio tetapi dalam masa sama melonjakkan prestasi pemain perseorangan muda negara ke tahap lebih tinggi.

"Saya berdepan tugas berat juga sebenarnya kerana perlu membantu Chong Wei dan melatih pemain pelapis. Pemain pelapis juga perlu diberikan tumpuan kerana mereka inilah yang akan mengambil alih tempat Chong Wei selepas Sukan Olimpik walaupun kita tidak pasti bila Chong Wei akan bersara.

"Saya perlu mempersiapkan mereka dari sekarang bukan lepas bulan Ogos (selepas Sukan Olimpik) baharu nak bagi tumpuan kepada mereka. Persiapan Chong Wei penting dan begitu juga persiapan pemain muda negara," katanya.

Berita Harian X