Rabu, 13 Januari 2016 | 7:43am

Skandal FIFA: Jimenez ditahan polis Guatemala

BEKAS ketua persekutuan bola sepak negara itu, Brayan Jimenez bercakap dengan pemberita selepas ditahan polis Guatemala susulan skandal rasual Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - Foto AFP
BEKAS ketua persekutuan bola sepak negara itu, Brayan Jimenez bercakap dengan pemberita selepas ditahan polis Guatemala susulan skandal rasual Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). - Foto AFP

GUATEMALA CITY: Polis Guatemala menangkap bekas ketua persekutuan bola sepak negara itu, Brayan Jimenez semalam, yang diburu Amerika Syarikat susulan skandal rasuah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kata seorang pegawai.

Jimenez, 61, ditahan di pangsapuri mewahnya di Guatemala City, kata ketua polis awam negara itu, Nery Ramos kepada pemberita.

Selain memegang jawatan presiden persekutuan bola sepak Guatemala, Jimenez juga menjadi anggota jawatankuasa 'fair play' dan tanggungjawab sosial FIFA.

Ramoz berkata, Jimenez "berada dalam keadaan fizikal yang teruk" apabila melarikan diri sejak 3 Disember apabila mahkamah Amerika Syarikat mengeluarkan waran bagi ekstradisi penangkapannya.

Dia adalah seorang daripada 16 pegawai bola sepak Amerika Latin yang berada dalam senarai yang diburu Amerika Syarikat.

Mereka didakwa atas tuduhan mengambil rasuah untuk mendapatkan hak pemasaran bagi perlawanan utama FIFA, melanggar peraturan Amerika Syarikat dengan menjalankan penipuan, kegiatan haram dan pengubahan wang haram.

Bekas Setiausaha Persekutuan Guatemala, Hector Trujillo, 62, turut ditahan di Florida pada bulan lalu. Dia bagaimanapun diikat jamin, minggu lalu.

Mahkamah Guatemala perlu membuat keputusan sama ada mahu ekstradisi Jimenez. - AFP

Berita Harian X