Rabu, 13 Januari 2016 | 10:32am

Safiq tak pilih Messi untuk Ballon d'Or

Safiq Rahim memilih bintang Portugal, Cristiano Ronaldo selaku pilihan pertama mengetepikan Lionel Messi selaku Pemain Terbaik Dunia 2015.
Safiq Rahim memilih bintang Portugal, Cristiano Ronaldo selaku pilihan pertama mengetepikan Lionel Messi selaku Pemain Terbaik Dunia 2015.

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan kebangsaan Malaysia, Safiq Rahim, menyertai kelompok 30 kapten pasukan kebangsaan yang mengetepikan Lionel Messi dan tidak memilih sensasi Barcelona itu selaku Pemain Terbaik Dunia 2015.

Ternyata prestasi cemerlang Messi tahun lalu belum cukup untuk memikat hati Safiq dengan dia juga satu antara dua kapten pasukan kebangsaan di Asia Tenggara selain Myanmar yang tidak memilih Messi sebagai pilihan utama untuk menggondol anugerah berprestij Ballon d'Or.

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memilih bintang Portugal, Cristiano Ronaldo selaku pilihan pertama, sekali gus memberikan lima mata kepada bintang Real Madrid yang memenangi anugerah terbabit dua kali berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Sedikit mengejutkan apabila Safiq memilih pemain sayap Arsenal, Alexis Sanchez bagi pilihan keduanya dan meskipun tidak memilih Messi, namun pemain berusia 29 itu memilih rakan sepasukan Messi, Neymar sebagai pilihan ketiganya.

Sementara itu, kapten pasukan kebangsaan Myanmar, Aung Kyaw Yan, turut memilih Ronaldo selaku pilihan utama dan dia turut memilih dua rakan sepasukan Messi di Barcelona iaitu Neymar dan Luis Suarez masing-masing sebagai pilihan kedua dan juga ketiga.

Pada majlis penganugerahan Ballon d'Or di Zurich, Switzerland Isnin lalu, penyerang lincah itu mengetepikan pemenang tiga kali, Cristiano Ronaldo, selepas memenangi anugerah berprestij itu empat kali berturut-turut bermula 2009 hingga 2012.

Messi mendapat 41 peratus undian manakala Ronaldo pula meraih 28 peratus undian sementara satu lagi calon pemenang Ballon d'Or, Neymar pula sekadar memperoleh lapan peratus undian.

Berita Harian X