Selasa, 26 Januari 2016 | 4:29pm

KOM perlu bertanggungjawab atas nasib Badrul

ATLIT lari 100 meter, Badrul Hisyam Abd Manap. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
ATLIT lari 100 meter, Badrul Hisyam Abd Manap. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan diambil berhubung kontroversi menyelubungi rekod baharu pelari pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap, pada mesyuarat ahli majlisnya, di sini, esok.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, di sini, hari ini.

Mesyuarat KOM itu dijadualkan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada jam 3 petang.

Agendanya adalah bagi membincangkan sama ada catatan 10.29 saat oleh Badrul Hisyam dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei, tahun lalu boleh diiktiraf sebagai rekod kebangsaan yang baharu atau sebaliknya.

"Mengenai rekod Badrul, apa juga keputusan dibuat oleh KOM mereka harus bertanggungjawab.

"Saya rasa kita sendiri menerima maklum balas daripada Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BAA) dan pihak mereka sudah menyalurkan salinan keputusan.

"Kini terserah kepada KOM untuk menerima catatan Brunei itu atau pun tidak," katanya selepas majlis penyerahan tajaan Sukan Media - MSN edisi ke-8 di Casa 1 MSN, di sini.

Shapawi turut menasihatkan atlet berusia 19 tahun itu agar tidak kecewa sekiranya catatan berkenaan ditolak pada mesyuarat berkenaan dan sebaliknya menjadikan perkara itu sebagai satu cabaran untuk menjadi lebih baik selepas ini.

"Kalau keputusan tidak memihak Badrul, dia tidak harus ambil ia sebagai kekecewaan sebaliknya jadikan ia cabaran. Buktikan bahawa dia adalah atlet 100m terbaik negara masa ini. Jika ia diiktiraf Alhamdulillah," katanya.

Catatan masa Badrul itu dipertikaikan selepas ia dikatakan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) kerana ketiadaan alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50 meter selain tiada bukti rakaman gambar garisan penamat, di mana kedua-dua aspek itu wajib ada untuk mendapat pengiktirafan.   

Watson Nyambek adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.30s pada 13 Julai 1998.  

Berita Harian X