Khamis, 28 Januari 2016 | 4:48pm

Dua pelayar dapat sumbangan RM200,000

PELAYAR negara, Rufina Tan dan Connie Riverra Tsen. - Foto Edmund Samunting
PELAYAR negara, Rufina Tan dan Connie Riverra Tsen. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Dua pelayar negara dari Sabah menerima sumbangan RM200,000 daripada Sports Toto Malaysia Sdn Bhd untuk mengikuti kejohanan kelayakan Olimpik acara perahu layar berpasukan di Abu Dhabi, Mac depan.

Sumbangan kepada Rufina Tan, 25, dan Connie Riverra Tsen, 19, turut digunakan untuk mereka menyertai kejohanan perahu layar antarabangsa di Florida, Amerika Syarikat, bulan depan sebagai persediaan ke kejohanan kelayakan temasya berprestij itu.

Cek sumbangan diserahkan oleh Pengurus Besar Bahagian Kewangan dan Pentadbiran Sports Toto Malaysia Sdn Bhd, Tung Kai Shek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Awang Damit Awang Anak sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, di sini, sebentar tadi.

Tawfiq yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sabah menghargai sumbangan Sports Toto Malaysia dalam penajaan pelayar ke kejohanan peringkat dunia itu dan merealisasikan harapan mereka untuk mengharumkan nama negeri dan negara.

"Sumbangan ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan kedua-dua pelayar menyertai pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Rio. Saya difahamkan peluang mereka untuk melepasi pusingan kelayakan amat cerah.

"Kita berharap sumbangan ini menaikkan semangat mereka untuk mencipta kejayaan di Abu Dhabi sekali gus membawa nama Sabah dan Malaysia ke Olimpik Rio di Brazil pada Ogos depan," katanya.

Yang turut hadir ialah Pengarah Majlis Sukan Sabah, Terrance Pudin dan Pengurus Wilayah Sport Toto Malaysia, Teau Kheam Sean.

Sementara itu, Connie berkata mereka akan berdepan saingan lebih 10 pasukan dari Jepun, Thailand, Singapura dan India dalam pusingan kelayakan Olimpik di Abu Dhabi yang dijadualkan bermula pada 7 Mac depan.

Katanya, sebagai persediaan, mereka menjalani latihan rutin perahu layar di Tanjung Aru, di sini, selain menyertai kejohanan antarabangsa di Florida pada bulan depan untuk meningkatkan tahap kecergasan masing-masing.

"Kami berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Sports Toto Malaysia yang membantu menerusi sumbangan kewangan untuk kami menyertai pusingan kelayakan di Abu Dhabi," katanya.

Berita Harian X