Jumaat, 29 Januari 2016 | 7:46pm

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza ketuai MPM

PENGERUSI Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin. - Foto Osman Adnan
PENGERUSI Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin dilantik selaku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selama tiga tahun berkuat kuasa bulan ini.

Sebagai individu yang begitu meminati bidang sukan, beliau berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada ahli jawatankuasa dan juga atlet paralimpik negara ini.

"Saya tertarik dengan usaha kerajaan dalam memfokuskan dan memberi keutamaan kepada perkembangan atlet paralimpik menerusi MPM, jadi saya terpanggil untuk terus menyumbang kepada usaha murni kerajaan ini.

"Meskipun gembira dengan pelantikan ini, namun saya berasakan masih banyak yang perlu dilakukan terutamanya membabitkan pembangunan akar umbi melalui MPM.

"Dengan Sukan Paralimpik Rio 2016 yang semakin hampir, kita perlu menghasilkan lebih banyak peluang berbanding sebelum ini selain menyemai sikap lebih positif dalam kalangan atlet paralimpik," katanya yang dipilih menjawat jawatan itu baru-baru ini.

Berita Harian X