Isnin, 15 Februari 2016 | 12:19pm

Tindakan Lescott buat penyokong Villa berang

GAMBAR Mercedes-AMG S 63 Coupe yang dimuat naik oleh Joleon Lescott di laman Twitter miliknya.
GAMBAR Mercedes-AMG S 63 Coupe yang dimuat naik oleh Joleon Lescott di laman Twitter miliknya.

BIRMINGHAM: Joleon Lescott membangkitkan kemarahan penyokong Aston Villa dengan memuat naik gambar kereta Mercedes bernilai STG121,000 (RM762,300) selepas kekalahan besar 6-0 kepada Liverpool, malam tadi.

Namun sebaik menyedarinya, Lescott tampil mempertahankan isu yang sedang hangat diperkatakan peminat Aston Villa dengan mendakwa dia memuat naik gambar itu secara tidak sengaja.

Pertahanan tengah berkenaan beraksi penuh 90 minit di Villa Park, yang menyaksikan penyokong beramai-ramai meninggalkan stadium lebih awal selepas mengejek pemain kerana satu lagi keputusan buruk.

Kurang 15 minit selepas tamat perlawanan, bekas tonggak antarabangsa England itu memuat naik gambar kereta baru Mercedes-AMG S 63 Coupe berwarna kelabu dan tindakan itu mendapat reaksi negatif penyokong.

Lescott kemudian mengeluarkan kenyataan di laman Twitter dengan menegaskan tweet itu dimuat naik secara tidak sengaja, walaupun gambar asal itu masih belum dipadamkannya.

"Bukan sahaja saya seorang yang memuat naik tweet selepas perlawanan, namun sama ada ia baik atau tidak, saya secara peribadi tetap mahu memohon maaf untuk persembahan hari ini (malam tadi)," tulis Lescott.

"Liverpool lebih bagus daripada kami hari ini tetapi itu tidak bermakna kami boleh memberi alasan dan saya mengakui pasukan kekurangan komitmen sepanjang tempoh 90 minit. Sekali lagi saya memohon maaf.

"Saya ingin menambah bahawa tweet yang dimuat naik daripada akaun membabitkan gambar kereta adalah insiden yang tidak disengajakan. Ia berlaku semasa saya memandu dan ketika itu telefon bimbit saya berada di dalam poket." - Agensi

Berita Harian X