Khamis, 18 Februari 2016 | 10:15am

Benitez ingin kembali bimbing kelab EPL

BEKAS pengendali Real Madrid, Rafa Benitez.. - Foto EPA
BEKAS pengendali Real Madrid, Rafa Benitez.. - Foto EPA

LONDON: Bekas pengendali Real Madrid, Rafa Benitez mengakui dia mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dipecat oleh kelab Sepanyol itu bulan lalu.

Benitez yang sebelum ini pernah mengendali Liverpool dan Chelsea, disingkirkan daripada jawatannya selepas didakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan pemain utama di Santiago Bernabeu, khususnya Cristiano Ronaldo.

Namun pengendali Sepanyol yang memenangi Liga Juara Juara bersama Liverpool itu mahu kembali semula ke England, memandangkan keluarganya masih lagi menetap di Wirral yang sudah menjadi kediamannya sejak bergelar pengurus pasukan The Reds.

"Saya menyukai EPL dan itu menjadi keutamaan saya buat masa ini kerana keluarga masih tinggal di sini," kata pengendali berusia 55 tahun itu kepada BT Sport.

"Tetapi ia tidak mudah terutamanya kepada isteri saya. Selepas sebulan, ia masih baik namun kini, saya berasakan 'ayuh, anda kena dapatkan kerja semula."

Meskipun mahu kembali ke arena kejurulatihan, namun dia masih belum menerima tawaran daripada mana-mana kelab berikutan semua saingan liga sedang berlangsung, jadi dia akan fokus untuk menganalisis permainan dan cuba meningkatkan lagi kemahiran taktikalnya.

"Saya suka berada di atas padang. Namun buat masa ini saya tiada pilihan kerana sekarang ada Liga Juara Juara dan Liga Europa," katanya. - Agensi

Berita Harian X