X
Ahad, 21 Februari 2016 | 5:02pm

Malaysia tempah slot ke-7 acara terjun Olimpik

AKSI penerjun negara Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong pada acara 10 meter seirama pada final Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2016, Jumaat lalu. - Foto REUTERS
AKSI penerjun negara Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong pada acara 10 meter seirama pada final Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2016, Jumaat lalu. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara meneruskan aksi cemerlang selepas menempah slot ketujuh ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.

Gandingan Cheong Jun Hoong dan Nur Dhabitah, yang sudahpun layak ke Rio, menamatkan saingan di tempat lima daripada 12 pasangan dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita selepas mengutip 301.50 mata pada Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) 2016 di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio, lewat Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia).

Gergasi sukan terjun dunia, China meraih pingat emas menerusi Shi Tingmao/Wu Minxia yang mengumpul 339.60 mata, manakala pasangan Kanada Jennifer Abel/Pamela Ware di tempat kedua selepas mengutip 312.27 mata, demikian menurut laman sesawang FINA www.fina.org.

Samantha Amy Mills/Esther Qin dari Australia pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas meraih 307.50 mata.

Skuad terjun negara menempah slot keenam ke Sukan Olimpik Rio selepas Pandelela Rinong dan Cheong memenangi pingat perak acara 10m platform seirama wanita pada lewat Jumaat (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).

Malaysia sudah menempah lima slot individu ke Sukan Olimpik 2016 menerusi Ooi Tze Liang (3m papan anjal dan 10m platform lelaki), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita), Nur Dhabitah Sabri (10m platform wanita) dan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita, tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X