X
Selasa, 23 Februari 2016 | 5:40pm

LTdL: Keadaan kesihatan tidak ganggu fokus Harrif

PAKAR pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh.
PAKAR pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh.

ALOR SETAR: Fokus pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh tidak terganggu sekalipun keadaan kesihatannya sedikit terjejas sebelum perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 bermula.

Ketika ditemui pada sesi latihan pasukan pagi tadi, pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, demam dialaminya sejak beberapa hari lalu kian pulih dan berharap segala-galanya kembali seperti biasa pada perlumbaan esok.

"Keadaan saya sudah semakin baik cuma ada sedikit rasa kurang sihat terutama di bahagian tekak," kata pelumba berusia 27 tahun itu.

"Tetapi selepas latihan tadi, keadaan sudah semakin baik mungkin disebabkan peluh. Namun apa yang penting, saya tetap akan beri yang terbaik pada perlumbaan esok."

Harrif yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura dianggap antara taruhan terbaik negara untuk mencabar kedudukan podium.

Kudrat Harrif yang berpengalaman luas bersaing di Jelajah Asia menjadi sandaran utama TSG untuk meraih kedudukan podium pada edisi ke-21 LTdL selain rakan sepasukan, Anuar Manan.

TSG sememangnya menjadi tumpuan utama peminat berbasikal tempatan untuk menyerlah di LTdL dengan beberapa keputusan baik pada edisi sebelum ini.

Selain Harrif dan Anuar, TSG turut menampilkan empat pelumba berkaliber iaitu Adiq Husainie Othman, Shahrul Mat Amin, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Goh Choon Huat.

Selain podium, TSG tahun ini meletakkan sasaran untuk mencabar kedudukan jersi serta berpasukan yang memberikan mata dalam ranking Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Berita Harian X