Jumaat, 4 March 2016 | 10:48am

Dr Vida belum mahu ikut jejak TMJ

PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KOTA BHARU: Selepas melabur jutaan ringgit kepada Kelantan, Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Dr Vida mengakui masih belum berminat untuk menjadi pemilik pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) seperti dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memiliki Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dr Vida atau nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan membeli skuad Kelantan memandangkan pengalamannya masih belum cukup dalam dunia bola sepak.

Jutawan kosmetik itu berkata, jika mahu menjadi pemilik PQPTRW, beliau perlu melihat pelbagai sudut terlebih dahulu terutama cara mengurus dan mengelola pasukan seperti dilakukan orang berpengalaman.

"Buat masa ini biarlah saya menaja Kelantan untuk dua musim demi membantu pembangunan bola sepak negeri itu. Banyak lagi perancangan saya mahu lakukan kepada PQPTRW supaya menjadi pasukan terhebat di peringkat antarabangsa.

"Sebagai permulaan, penajaan adalah langkah tepat untuk melihat dahulu cara pasukan bergerak. Mungkin selepas itu, saya akan fikirkan sama ada berminat untuk menjadi pemilik Kelantan atau sebaliknya.

"Tidak dinafikan, apa yang saya lakukan ini kerana sudah menjadi sebahagian daripada jiwa saya walaupun pada awalnya saya hanya mahu membantu Kelantan.

"Semua ini adalah atas sukarela saya sendiri, bukan sekadar penaja yang hanya memberi dana tajaan tanpa memikirkan pelbagai cara lain demi membantu pasukan bangkit," katanya ketika dihubungi BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan penaja utama Kelantan, Dr Vida akan membelanjakan lebih RM20 juta bagi memastikan skuad PQPTRW berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.

Peruntukan itu termasuk RM16 juta untuk menaja pasukan Kelantan, selebihnya RM3 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk kempen promosi manakala RM1 juta bagi menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri ini.

Dr Vida juga akan ke Madrid dan Manchester pada 14 Mac ini bagi menyaksikan sendiri pendekatan digunakan dua kelab tersohor di dunia itu dalam membangunkan bola sepak mereka termasuk stadium.

Katanya, beliau yakin suntikan tajaan dan pendekatan yang diambil untuk membantu PQPTRW mampu meningkatkan lagi pembangunan sukan bola sepak Kelantan mahupun negara.

"Apapun saya akan fikirkan kemudian kerana saya juga perlu fokus kepada penjualan produk saya. Macam mana saya mahu melabur untuk Kelantan jika jualan saya jatuh," katanya.

Berita Harian X