Jumaat, 4 March 2016 | 10:48pm

Masalah kewangan punca Azlan tak tanding Moto2

Azlan Shah Kamaruzaman
Azlan Shah Kamaruzaman

KAJANG: Masalah kewangan menjadi punca pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman terpaksa melupakan hasrat meneruskan saingan dalam Kejuaraan MotoGP Dunia musim ini.

Azlan Shah, 31, yang sebelum ini beraksi dengan pasukan Idemitsu Honda Team Asia, kini menukar haluannya dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (AARC) FIM bagi kategori 600cc mewakili pasukan Bike Art Kawasaki Racing.

"Memang saya kecewa tidak dapat terus beraksi dalam Moto2, namun saya perlu akur rezeki saya setakat itu sahaja...tetapi saya akan berlumba dalam ARRC musim ini. Saya akan jumpa semula rakan-rakan lama saya.

"Taraf perlumbaan ARRC masih lagi tinggi dan kompetitif, bukan mudah untuk berlumba dengan pelumba lain dalam saingan ARRC ini.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan saya. Terima kasih kepada pasukan yang memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2016 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azlan Shah yang juga pelumba anak jati Selangor yang berasal dari Shah Alam, menerima Anugerah Penghargaan Khas daripada kerajaan negeri Selangor atas pencapaiannya dalam sukan permotoran.

Azlan Shah berkata, beliau berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan jentera baharu pada musim ini selepas dua tahun beraksi dalam kelas Moto2.

"Motosikal kelas Moto2 dan ARRC adalah berlainan kerana jentera ini mempunyai kelajuan yang berbeza. Motosikal untuk ARRC adalah 'production bike' manakala bagi Moto2, ia direka khusus untuk perlumbaan," katanya.

Azlan Shah berharap prestasinya tahun ini lebih meningkat dan pada masa sama, tetap menaruh harapan untuk kembali beraksi dalam Kejuaraan MotoGP Dunia pada musim akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X