Sabtu, 12 March 2016 | 9:28am

Tenis: Sharapova kecam pengkritik

MARIA Sharapova bercakap kepada pemberita di sidang media berkenaan ujian positif dadah pada Terbuka Australia pada 7 Mac lalu. - Foto EPA
MARIA Sharapova bercakap kepada pemberita di sidang media berkenaan ujian positif dadah pada Terbuka Australia pada 7 Mac lalu. - Foto EPA

INDIAN WELLS: Maria Sharapova kembali membalas dakwaan dia menerima lima amaran berasingan mengenai perubahan peraturan anti-doping dalam tenis yang membawa kepada ujian positif terhadap bahan terlarang.

Sharapova mempertahankan dirinya menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook hari ini, dengan berkata dia menerima satu notis jelas pada Disember dengan tajuk "Perubahan Utama kepada Program Anti-Doping Tenis untuk 2016."

"Saya sepatutnya memberi lebih perhatian kepadanya. Namun "komunikasi" lain? Mereka hanya tersimpan di akhbar, laman web atau risalah," kata bintang Russia itu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan Isnin lalu bahawa dia gagal ujian dadah pada Terbuka Australia pada Januari.

Sharapova diuji positif terhadap meldonium, yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia pada 1 Januari.

Atlet berusia 28 tahun itu juga menegaskan hari ini bahawa dia tidak pernah memalsukan kecederaan untuk cuba menggagalkan ujian.

"Saya tidak akan cuba berlakon untuk cedera jadi saya boleh menyembunyikan kebenaran mengenai ujian saya," kata Sharapova. "Saya berazam untuk kembali bertarung," katanya. "Tiada sangsi lagi, tetapi adalah salah untuk berkata saya sudah diberi amaran sebanyak lima kali."

The Times di London Rabu lalu melaporkan Sharapova sudah menerima lima notis berasingan bahawa meldonium akan menjadi bahan larangan. - AFP

Berita Harian X