Sabtu, 12 March 2016 | 11:52am
JURUCAKAP WADA, Ben Nicholas.
JURUCAKAP WADA, Ben Nicholas.

WADA kesan 99 kes positif doping

MOSCOW: Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) berkata mereka sudah merekodkan 99 ujian positif untuk dadah yang menjadi tumpuan utama dalam kes membabitkan pemenang lima gelaran Grand Slam tenis dunia, Maria Sharapova.

WADA bagaimanapun tidak menamakan atlet yang disahkan positif meldonium, yang dikaitkan bagi peningkatan prestasi atlet, tetapi berkata mereka terdiri daripada atlet pelbagai sukan dan dilaporkan oleh agensi anti-doping negara masing-masing.

"Kami boleh sahkan sejak bahan Meldonium diharamkan pada 1 Januari 2016, 99 atlet direkodkan positif mengambil bahan terlarang itu," kata jurucakap WADA, Ben Nicholas menerusi e-mail kepada Reuters.

Meldonium, yang dihasilkan bagi mereka yang mempunyai masalah jantung, mula disenaraikan sebagai bahan terlarang sejak 1 Januari lalu dan boleh meningkatkan kapasiti senaman.

Sharapova sebelum ini menggemparkan arena sukan dunia awal minggu ini apabila mengesahkan positif Meldonium pada Terbuka Australia Januari lalu, bahan terlarang yang diakuinya mula diambil sejak 2006. - REUTERS

Berita Harian X