Ahad, 20 March 2016 | 7:36am

Dr Vida mahu buka akademi bola sepak Qu Puteh

PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman. - Foto Syamsi Suhaimi
PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman. - Foto Syamsi Suhaimi

PARIS: Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bercadang mahu membuka akademi bola sepak di Kelantan bagi mengasah bakat pemain muda yang mampu membantu Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) satu hari nanti.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, beliau kini sedang mencari tempat untuk menubuhkan akademik yang akan dibina berhampiran dengan sekolah supaya tidak mengganggu pelajaran pelatih.

Katanya, beliau akan mencari jurulatih terbaik dalam sukan bola sepak bagi melatih pelatih yang berusia seawal umur 13 tahun di akademik itu.

"Penyertaan pelatih hanya terhad kepada seramai 30 pelajar setahun. Jadi saya akan adakan saringan kepada pelajar berminat dan keutamaan untuk mereka yang mempunyai bakat.

"Ini adalah inisiatif saya bagi pembangunan bola sepak Kelantan untuk jangka masa panjang. Jadi, kita tidak perlu berbelanja lebih mencari pemain tempatan yang mahal sedangkan Kelantan sudah memiliki pemain muda yang berpotensi.

"Kita terlalu banyak membazir mencari pemain tempatan dari negeri lain yang mahal sedangkan ramai pemain muda di Kelantan yang berbakat terlepas pandang. Cuma ia perlu mengambil masa untuk diasah dan mereka seharusnya diberi peluang," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Vida berkata beliau memperoleh idea untuk menubuhkan akademik selepas seorang ejen mencadangkannya mengambil pemain import baharu dari sebuah kelab Divisyen Dua di Liga Sepanyol untuk menggantikan awang import PQPTRW yang beraksi hambar musim ini.   

Pemain posisi penyerang berusia 26 tahun berasal dari Portugal berkenaan pernah ditawarkan menyertai sebuah kelab Divisyen Satu pada seawal usia 17 tahun.

Namun disebabkan beberapa masalah teknikal selain terdapat saingan dalam tawarannya, peluang untuk pemain berkenaan mengembangkan kariernya terhalang dan disebabkan itu, dia masih kekal bermain dengan kelab Divisyen Dua di Liga Sepanyol sehingga sekarang.

"Jadi, saya tidak mahu perkara ini berlaku di Kelantan dan biarlah lebih ramai pemain handal dilahirkan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Tiada ruginya kalau kita mengambil peluang dari sekarang membentuk pemain muda. Biar susah dahulu, senang kemudian hari," katanya.

Berita Harian X