Khamis, 24 March 2016 | 5:46pm

Ahmad Bashah dilantik Presiden KFA

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang baharu dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersalam dengan Timbalan Presiden (KFA), Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar (kanan) selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) KFA yang diadakan di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah secara rasmi dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas diputuskan melalui Kongres Luar Biasa petang ini.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat yang berlangsung selama sejam berakhir jam 3 petang di Bilik Gerakan, Blok B Wisma Negeri Darul Aman di sini.

Dengan perlantikan itu, Ahmad Bashah secara rasminya menggantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam ucapan sulungnya selaku Presiden KFA berkata, beliau berharap prestasi semasa Kedah dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada masa depan.

Beliau juga berharap pasukan Kedah berjaya merangkul kejuaraan pada tahun ini dalam keadaan yang lebih mencabar.

"Suasana dan keadaan sekarang sudah berlainan berbanding ketika kita merangkul tiga kejuaraan pada tahun 2006.

"Namun, saya percaya kita boleh mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Kedah jika semua yang terbabit terutama dalam kalangan KFA sendiri memainkan peranan masing masing," katanya.

Ahmad Bashah turut mengumumkan perlantikan Datuk Yusof Ismail sebagai Bendahari KFA yang baharu menggantikan Datuk Aminuddin Omar.

Berita Harian X